PETALING JAYA – Melakukan pekerjaan tambahan bagi mencari pendapatan sampingan bukan lagi perkara asing, sebaliknya semakin ramai golongan muda termasuk berjawatan eksekutif melakukan sehingga tiga kerja untuk menampung hidup.
Rata-rata mereka yang berkeluarga mengakui pendapatan daripada satu sumber sahaja tidak lagi mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi terutama di bandar-bandar besar.
Bagi mereka, melakukan pekerjaan tambahan bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan perbelanjaan keluarga, komitmen kewangan dan simpanan masa depan terjamin.
Seorang pengurus sebuah klinik pakar kanak-kanak, Azura Askor, 37, berkata, dia melakukan tiga pekerjaan bagi membesarkan tiga anak yang masih kecil.
“Selain tugas hakiki sebagai pengurus klinik di Hartamas, saya mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik 24 jam dan pekerja bankuet di kelab golf pada hujung minggu.
“Jika diikutkan, gaji pengurus memang tidak mencukupi. Jadi saya tidak mempunyai pilihan selain daripada melakukan dua atau tiga kerja lain bagi mendapatkan wang,” katanya kepada Kosmo!.
Azura berkata, pendapatan yang diperoleh digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak, yuran tuisyen, pembelian buku rujukan dan aktiviti tambahan.
“Semuanya (pendapatan) untuk anak-anak, bukan untuk diri saya sendiri,” katanya.
Jelasnya, setiap pekerjaan yang diceburinya memberi nilai tambah dari segi pengalaman dan ilmu khususnya bidang kesihatan dan pengurusan majlis.
Menurut Azura, bekerja di klinik pakar memberi pengetahuan kepadanya mengenai rawatan pesakit, manakala kerja bankuet pula membuka peluang untuk berurusan dengan tetamu kenamaan termasuk kerabat diraja dan individu berpengaruh.
Walaupun jadual kerja padat, Azura berpandangan segala pengorbanannya berbaloi apabila keperluan tiga anaknya dapat dipenuhi setiap bulan.
Bagi penyelia tapak, Muhammad Nashrul Haq Ahmed Munir, 35, pula, dia melakukan kerja sambilan sebagai jurugambar bagi mencari pendapatan sampingan.
“Matlamat utama saya adalah untuk mencapai kestabilan kewangan, mengurangkan beban hutang dan mengumpul simpanan masa depan seperti membeli rumah, kenderaan dan serta menyediakan dana kecemasan,” katanya.
Katanya, melakukan lebih daripada satu pekerjaan membantunya meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan masa, disiplin selain meluaskan rangkaian kenalan.
Nashrul berpandangan trend orang muda melakukan lebih daripada satu kerja mencerminkan sikap masyarakat yang gigih dalam meningkatkan taraf hidup serta memanfaatkan kemahiran yang dimiliki.
Sementara itu, seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Abuzar, 30-an, berkata, minat mendalam terhadap bidang teknikal dan keusahawanan mendorong dia menceburi perniagaan perkhidmatan pendingin hawa.
Menurutnya, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu kini berkembang sehingga mampu menggaji tiga pekerja tetap bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat saban tahun.
“Pada awalnya, saya hanya mahu memanfaatkan kemahiran yang dimiliki, lama-kelamaan permintaan semakin meningkat, jadi saya ambil keputusan untuk mengembangkan perniagaan dan menggaji pekerja,” katanya.
Abuzar berkata, kepuasan terbesar yang diperoleh bukanlah wang semata-mata, sebaliknya membantu pelanggan selain menyediakan sumber rezeki kepada pekerja.
“Apabila perniagaan berkembang dan kita mampu membuka peluang pekerjaan kepada orang lain, itu satu kepuasan yang sukar digambarkan,”
ujarnya.
Abuzar berkata, kejayaan perniagaan itu membuktikan kemahiran yang dimiliki boleh dimanfaatkan untuk membina sesuatu yang lebih besar jika diurus secara konsisten.
“Ramai yang mempunyai kemahiran tertentu dan melihatnya sebagai peluang untuk membina sesuatu yang lebih besar pada masa depan. Apa yang penting ialah keberanian untuk bermula dan kesungguhan untuk mengembangkannya,” katanya.














