MADRID – Bintang Korea Selatan, Lee Kang-in membuat keputusan untuk kembali ke kancah La Liga apabila diumumkan sebagai pemain baharu Atletico Madrid selepas melengkapkan perpindahan mencecah €35 juta (RM162.8 juta) semalam.
Lebih menarik, pemain berusia 25 tahun itu mencipta sejarah sebagai pemain Korea Selatan pertama menyertai kelab gergasi Sepanyol itu selain diberi penghormatan menyarung jersi keramat No. 7 yang sebelum ini menjadi milik legenda kelab, Antoine Griezmann.
Kehadiran Kang-in yang menandatangani kontrak hingga 2031 telah mengakhiri spekulasi perpindahannya yang berlarutan selepas pengarah kelab, Mateu Alemany pernah cuba membawanya ke Atletico seawal Januari lalu.
Bagaimanapun, hasrat itu tertangguh selepas Paris Saint-Germain (PSG) yang dibimbing oleh Luis Enrique enggan melepaskan pemain tersebut ketika itu.
Kang-in teruja dengan lembaran baharu kariernya tetapi dalam masa sama cukup emosi untuk berpisah dengan PSG yang banyak membantunya sejak tiga tahun lalu.
“Saya masih mengingati hari pertama saya tiba di sini dengan impian yang besar. Sekarang perjalanan saya di Paris berakhir dan perkataan pertama yang terlintas di fikiran hanyalah terima kasih.
“Terima kasih kepada para penyokong kerana sorakan anda di Parc des Princes sentiasa bergema di hati saya.
“Kini, saya tidak sabar untuk menyarung jersi Atletico dan sangat gembira dapat menyertai kelab besar ini,” kata bekas pemain Valencia itu. – AGENSI














