PETALING JAYA – Tindakan penyokong mengecam pemain Korea Selatan selepas kegagalan pasukan itu mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 mengundang reaksi balas daripada netizen di seluruh dunia yang tampil mempertahankan bintang muda, Lee Kang-in.
Situasi tegang itu berlaku ketika skuad Korea Selatan tiba di Lapangan Terbang Incheon susulan kekecewaan penyokong terhadap prestasi pasukan. Bekas ketua jurulatih, Hong Myung-bo yang telah mengumumkan peletakan jawatannya turut menerima sorakan dan cemuhan daripada penyokong yang hadir.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyifatkan tindakan mengkritik pemain ketika mereka pulang adalah keterlaluan dan boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental atlet.
Pengguna @JSC menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan boleh menjejaskan kesejahteraan pemain.
“Tindakan seperti ini sangat toksik dan boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental seseorang,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @M.C, berkata, pemain tetap wajar dihormati kerana telah berkorban untuk mewakili negara di pentas tertinggi.
“Sama ada menang atau kalah, atlet telah mencurahkan seluruh tenaga dan mengorbankan banyak perkara untuk berada di tahap ini. Sokonglah pasukan bukan hanya ketika mereka menang, tetapi juga ketika berdepan saat sukar,” ujarnya.
Pengguna dari Malaysia, @Jerrielister, turut meninggalkan komen sebagai tanda sokongan kepada skuad Korea Selatan.
“Malaysia menyokong pasukan Korea Selatan. Terima kasih atas persembahan yang dipamerkan. Kami benar-benar menikmati perlawanan itu,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Ehh_HaYa berharap para pemain terus tabah menghadapi kecaman.
“Tiada siapa yang turun beraksi dengan niat untuk tewas. Menang dan kalah adalah lumrah pertandingan. Saya harap mereka terus kuat dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Terdahulu, Korea Selatan menamatkan saingan Piala Dunia 2026 di tempat ketiga peringkat kumpulan, namun gagal mara ke pusingan kalah mati selepas tidak tersenarai dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga kumpulan terbaik kejohanan.- KOSMO! ONLINE
@newspimphoto월드컵 대표팀 귀국… 속상한 이강인 선수 [영종도=뉴스핌] 김예원 인턴기자 = 북중미월드컵에 참가했던 이강인 국가대표팀 선수가 30일 인천공항을 통해 귀국하던 중 비난하는 팬을 바라보고 있다. 2026.06.29 [email protected] #이강인 #월드컵 #대표팀 #선수 #인천공항 #귀국














