fbpx
Tertuduh-tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. Foto oleh SHIDDIQIEN ZON/KOSMO!

[VIDEO] Enam lelaki terlibat kes culik tiba di mahkamah bagi pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Enam lelaki yang dipercayai menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM7 juta dalam kejadian pada 17 Julai lalu, tiba bagi pendakwaan di mahkamah di sini sebentar tadi.

Kesemua lelaki itu tiba pada pukul 9.30 pagi dengan dikawal dirapi polis.

Semalam Kosmo! melaporkan enam lelaki akan didakwa atas pertuduhan menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM7 juta dalam kejadian, di sini pada 17 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, siasatan terhadap lapan individu yang ditahan berhubung kes berkenaan telah selesai dijalankan.

Menurut Kumar, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Jumaat lalu, sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.

Kumar berkata, seramai enam suspek lelaki tempatan akan dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu kesalahan menculik untuk wang tebusan.

Dalam perkembangan sama, dua lagi suspek iaitu seorang wanita dan seorang lelaki tempatan telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan selepas diikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu media melaporkan enam individu ditahan selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta.

Tambah beliau, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa pada 17 Julai lalu dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di i-City, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 1 pagi keesokan harinya.

Enam individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun.

Dua lagi suspek iaitu lelaki tempatan termasuk seorang bekas anggota polis berusia 30-an yang disyaki terlibat, ditahan di sekitar Selangor pada 21 Julai lalu.

Pasukan polis kemudian menahan mangsa dalam kes berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Kumar berkata, penahanan itu susulan siasatan lanjut dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan elemen pengedaran dadah. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN