KUALA LUMPUR – Penempatan warga emas di institusi atau hospital secara jangka panjang bukan sahaja menyumbang kepada kos fiskal amat tinggi kepada negara, bahkan tidak selari dengan prinsip penuaan setempat serta penjagaan berasaskan keluarga dan komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, ini kerana prinsip Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bukan sahaja untuk memastikan kesejahteraan warga emas dari segi penjagaan fizikal semata-mata, tetapi memupuk nilai murni serta memperkukuh institusi keluarga yang sinonim dengan budaya rakyat Malaysia.
Menurutnya, Malaysia sedang mendepani cabaran negara menua di mana bilangan warga emas akan mencapai 15 peratus daripada populasi rakyat.
“Kerajaan menyedari bahawa peningkatan kos penjagaan warga emas terutamanya bagi kes rawatan penyakit kronik dan penjagaan jangka panjang (LTC) merupakan isu yang memerlukan pendekatan pembiayaan mampan.
“Kerajaan tidak lagi melihat isu ini sebagai isu kebajikan semata-mata, sebaliknya sebagai satu agenda keselamatan sosial negara yang holistik,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berhubung perancangan dan persediaan kerajaan untuk membiayai kos penjagaan warga emas yang semakin meningkat, khususnya bagi mereka yang memerlukan penjagaan rapi, penjagaan jangka panjang serta rawatan penyakit kronik, memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara menua.
Hui Ying berkata, pendekatan Whole-of-Nation perlu diambil memandangkan isu ini perlu didepani melalui pelbagai sudut yang melibatkan bidang kuasa dan kepakaran merentasi pelbagai Kementerian dan pihak swasta.
“Di pihak KPWKM peranan yang ditumpukan pada masa ini adalah untuk melahirkan penjaga berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan masyarakat.
“KPWKM telah membangunkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026-2030 bagi memandu pelaksanaan dasar, program dan inisiatif berkaitan warga emas dalam tempoh 2026 hingga 2030.
“Pelan ini dibangunkan sebagai langkah persediaan Malaysia menghadapi status negara tua serta bagi memperkukuh kesejahteraan, perlindungan dan penyertaan aktif warga emas dalam masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














