SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan 14 tawaran tambahan menerusi Manifesto Sepakat Perikatan Nasional yang memberi penekanan kepada aspek pentadbiran, ekonomi, kebajikan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran tambahan bertemakan #PNSepakatHebatkanNegeriSembilan itu melengkapkan manifesto sedia ada yang berpaksikan enam teras utama iaitu pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan.
Menurut beliau, tawaran tambahan itu bukan bertujuan menyaingi manifesto Barisan Nasional (BN), sebaliknya mengisi ruang yang belum diperincikan supaya menjadi pelengkap sekiranya PN dan BN mentadbir Negeri Sembilan.
“Manifesto BN ada asasnya dan apa yang kita bentangkan ini ialah ruang-ruang yang tidak disebut BN. Ia melengkapkan keseluruhan manifesto jika PN dan BN mentadbir Negeri Sembilan.
“Manifesto bukan Rancangan Malaysia yang penuh dengan angka dan perincian. Apa yang penting ialah kefahaman rakyat terhadap hala tuju yang ingin kita bawa dalam bahasa yang mudah. Itulah yang akan kita lontarkan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran manifesto PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Ampangan, hari ini.
Antara tawaran dikemukakan ialah pembangunan dashboard bagi memantau pelaksanaan Manifesto Negeri Sembilan serta penambahbaikan sistem pengurusan dan pentadbiran masjid yang lebih mesra kariah.
PN turut mencadangkan penyediaan Rumah Transit Belia untuk graduan dan pasangan baharu berkahwin selain melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga Mawaddah.
Dalam aspek ekonomi, PN menawarkan penerokaan dan pembangunan Pelan Ekonomi Biru Negeri Sembilan, penaiktarafan infrastruktur serta sokongan kepada industri gas dan minyak.
Selain itu, PN mencadangkan pembangunan pakej pelaburan baharu dalam sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), logistik dan ekonomi digital.
Manifesto itu turut menawarkan Bantuan Prihatin Rakyat yang menyasarkan keluarga B40 dan M40 berkomitmen tinggi serta berpendapatan rendah, selain penyaluran dana sokongan khas kebajikan dan hal ehwal bukan Islam.-KOSMO! ONLINE














