KUALA LUMPUR – Pelakon Harissa Adlynn mendedahkan dia pernah dibuli di set penggambaran di awal pembabitannya sebagai artis.
Menurut Harissa atau nama lengkapnya Harissa Adlynn Abdul Halim, 23, dia terpaksa berhadapan dengan sikap biadab serta layanan dingin di set penggambaran.
“Saya percaya ramai sahaja pelakon yang berdepan dengan situasi di mana mereka terpaksa bekerja dengan pelakon atau kru yang tidak profesional termasuklah saya sendiri.
“Mungkin disebabkan saya pelakon baharu, mereka berkelakuan seperti senior yang terlebih dulu makan garam atau lebih baik.
“Ada juga yang cuba nak mengajar. Saya tak kisah terima tunjuk ajar. Cara mereka seolah-olah nak tunjuk pada orang bahawa mereka lebih baik. Mungkin juga mereka tidak suka saya dapat watak heroin pada usia yang sangat muda.
“Tetapi saya pun tak tahu apa masalah sebenar mereka dengan saya,” katanya ketika ditemui di set penggambaran Keluang Man The Series, di sini, baru-baru ini.
Enggan dirinya terus dibuli dan mahu bekerja dalam persekitaran yang sihat, Harissa tampil bersuara meluahkan isi hatinya kepada produksi.
“Bila saya dibuli, saya terus suarakan. Saya tidak berdiam diri. Saya buat karangan yang panjang dan kongsikan dalam kumpulan Whatsapp.
“Tetapi cara saya masih berhemah. Saya minta pendapat beberapa orang terlebih dahulu.
“Saya rasa penting untuk kita suarakan jika kita tak buat benda yang salah dan berada di pihak yang benar. Suara saya mewakili pelakon-pelakon baharu yang turut terkena perkara yang sama,” jelasnya.
Tambahnya lagi, selepas dia meluahkan perasannya, individu yang pernah bersikap dingin atau biadap dengannya mula menunjukkan perubahan positif.
“Layanan mereka pada saya terus berubah. Mereka lebih mesra dan bertanya sama ada saya dah makan ke belum.
“Saya rasa mereka sedar bahawa apa yang saya suarakan itu benar.
“Jika saya bertemu lagi dengan mereka ini, saya tetap akan berlaku baik pada mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Harissa kini sedang sibuk menjalani penggambaran Keluang Man The Series di mana dia membawakan watak sebagai wartawan. KOSMO! ONLINE.














