fbpx
FASHA Sandha menegur sikap seorang pelakon yang sering meremehkan soal ketepatan masa ketika penggambaran berlangsung.

‘Bukan sekali dua, hampir setiap hari dia datang lewat ke set’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Menitikberatkan disiplin dalam bekerja, aktres Fasha Sandha menegur sikap rakan sekerja yang didakwa kerap datang lewat ke lokasi penggambaran sehingga menjejaskan kelancaran kerja seluruh produksi.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit kerana menganggap teguran tersebut sudah memadai sebagai peringatan agar memperbaiki sikap.

“Alamak, tak apalah. Saya tak mahu sebut siapa orangnya. Saya rasa dia sendiri tahu kerana kelewatan itu bukan sekali dua, sebaliknya hampir setiap hari.

“Saya harap perkara itu dijadikan pengajaran supaya dia lebih menghargai masa dan tidak lagi datang lewat selepas ini. Tetapi siapa orangnya, saya memang tidak akan beritahu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bintang filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu, individu terbabit merupakan rakan pelakon dalam sebuah naskhah lakonannya, namun memilih untuk menegur secara berhemah tanpa membuka aib sesiapa.

“Dia salah seorang pelakon yang bekerja dengan saya, tetapi saya tak mahu dedahkan namanya. Saya anggap teguran dalam status WhatsApp sudah memadai supaya semua yang membacanya dapat mengambil iktibar.

“Kelewatannya bukan sehari, tetapi hampir setiap hari, malah kadang-kadang sampai satu atau dua jam. Itu tidak baik. Saya harap selepas ini dia lebih menghormati masa dan menghargai orang lain.

“Kalau dahulu mungkin saya akan tulis dalam media sosial, tetapi kali ini saya hanya luahkan dalam WhatsApp. Orang pertama yang menghubungi saya pun individu itu sendiri, tetapi saya tetap tidak mahu sebut siapa,” ujarnya pada pelancaran kempen SAFI Youth Gold Rania yang mengangkatnya sebagai duta, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pernah menegur pelakon tersebut secara bersemuka, Fasha memaklumkan perkara itu sudah pun dilakukan pihak produksi, justeru dia enggan menambah tekanan terhadap individu berkenaan.

“Ada wakil produksi sudah menegurnya dan saya pasti perkara itu telah disampaikan. Saya juga tidak mahu sebut namanya kerana bimbang menjejaskan periuk nasinya. Namun, warga produksi tentu tahu siapa individu dimaksudkan.

“Jagalah disiplin kerana itulah perkara paling utama dalam kerjaya. Apabila kita menjaga disiplin dan komitmen, tidak mudah untuk orang menjatuhkan kita.

“Saya masih bertahan dalam industri hingga hari ini kerana sentiasa berpegang pada disiplin dan komitmen. Teguran itu dibuat supaya dia menjadi insan lebih baik. Mujurlah sekarang saya lebih tenang. Kalau dahulu, mungkin saya tulis di Twitter, tetapi kini cukuplah sekadar di WhatsApp. Harap dia ambil iktibar, insya-Allah,” jelasnya.

Mengulas dakwaan segelintir pelakon masa kini semakin selesa mengambil mudah soal ketepatan masa, Fasha mengakui tidak mengetahui punca sebenar sikap tersebut.

“Saya pun tidak pasti. Saya hanya tahu saya sentiasa menjaga disiplin.

“Bagi mereka yang tidak menjaga disiplin, saya sendiri tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka. Kena tanya mereka sendiri,” luahnya.

Sebelum ini, Fasha meluahkan rasa kesal terhadap sikap seorang pelakon di lokasi penggambaran yang didakwa kerap hadir lewat sehingga mengganggu kelancaran jadual kerja produksi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN