PETALING JAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan secara beramai-ramai ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh lebih 4,200 puak pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim Zionis Israel, kelmarin.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, tindakan menyerbu tempat suci ketiga umat Islam itu, disusuli sekatan terhadap jemaah Palestin serta pelaksanaan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kawasan kompleks berkenaan merupakan pelanggaran nyata terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Tapak Suci tersebut.
“Tindakan itu turut disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan status Baitulmaqdis Timur yang Diduduki,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia memandang provokasi berkenaan sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel di Baitulmaqdis Timur yang bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang dan demografinya.
Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta sokongan teguh terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – KOSMO! ONLINE














