fbpx
Sany Araby bercakap pada sidang akhbar di SNCC di Sepang, hari ini.

87 aktivis GSF 2.0 mogok lapar, bantah penculikan haram Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kira-kira 87 aktivis termasuk rakyat Malaysia mengadakan mogok lapar sebagai tanda bantahan haram dan layanan kejam rejim Zionis Israel terhadap mereka.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mogok lapar berskala besar itu berlangsung di Pelabuhan Ashdod, iaitu destinasi terkini aktivis itu berada, ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kesemua peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 kini telah tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel dan berada dalam keadaan stabil.

“Mereka mengadakan mogok lapar sebagai tanda protes terhadap penahanan haram, layanan tidak berperikemanusiaan dan pencabulan hak asasi yang dilaksanakan oleh pihak rejim ke atas aktivis kemanusiaan flotilla itu,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Pada masa sama, Sani Araby berkata, pihaknya turut mengecam dan memandang serius tindakan rejim israel yang bertindak menyeksa, memukul dan melayan tahanan secara tidak berperikemanusiaan.

Katanya, tindakan itu jelas bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) termasuk Statut Rom di bawah Perkara 8(2)(a)(ii) atau 8(2)(c)(i) selain pelanggaran berat dari aspek Konvensyen Geneva.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstremis Israel, Itamar Ben Gvir bersama pihak tentera Israel yang didakwa melakukan kekerasan fizikal, tekanan mental dan ugutan terhadap para aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.

“Tindakan ini memperlihatkan wajah sebenar rejim apartheid yang terus bertindak di luar batas kemanusiaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, SNCC menyifatkan kenyataan bercanggah daripada beberapa pimpinan Israel terhadap tindakan ekstremis Itamar Ben Gvir membuktikan wujud perpecahan dalaman dalam rejim.

Sebelum ini, Benjamin Netanyahu, bersama Menteri Luar dan Duta Israel ke Amerika Syarikat menyatakan bahawa tindakan Ben Gvir adalah tidak selari dengan nilai Israel iaitu memudaratkan serta disifatkan sebagai tindakan cuai.

Jelasnya lagi, katanya, SNCC menerima maklumat yang turut disiarkan akhbar penjajah bahawa sebahagian aktivis yang diculik dijangka akan dipindahkan ke Penjara Ketziot, israel dalam masa terdekat.

Sani Araby berkata, pasukan guaman Sumud Nusantara iaitu Centre For Human Rights Research and Advocacy (Centhra) dan The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel yang berpusat di Haifa, telah bersedia di pelabuhan Ashdod untuk bertemu dengan aktivis berkenaan.

“Kesemua aktivis kemanusiaan flotilla termasuk rakyat Malaysia berada dalam keadaan stabil dan sedang menunggu kebenaran untuk bertemu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN