KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) memberi tempoh dua tahun kepada Malaysia untuk memperkukuhkan undang-undang berkaitan buruh paksa sebagai sebahagian daripada komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang dimeterai antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tempoh itu diberikan selepas perjanjian berkenaan diratifikasi bagi membolehkan Malaysia melakukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah dimaklumkan mengenai perkara itu, termasuk keperluan meminda beberapa seksyen berkaitan isu buruh paksa.
“Dua tahun tempoh diberi bukan segera sebab perjanjian sudah ditandatangani. Sebaik kita sudah meratifikasi elemen terbabit, maknanya dia bagi dua tahun untuk betulkan undang-undang yang kita tidak ada.
“Kalau ada undang-undang berkenaa dalam negara, maknanya kalau anda mengambil pekerja asing tanpa permit boleh masuk penjara, kena denda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-50 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2026 di sini, hari ini.
Mengulas tarif 10 peratus yang dikenakan AS terhadap Malaysia susulan siasatan berhubung isu buruh paksa, Johari berkata kadar itu masih lebih rendah berbanding beberapa negara lain.
Katanya, AS mendapati Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus bagi menangani kemasukan bahan mentah atau komponen yang dihasilkan menggunakan buruh paksa dari negara ketiga sebelum diproses dan dieksport sebagai produk Malaysia.
“Mereka sudah lakukan siasatan ke atas isu buruh paksa dan kita akan dikenakan (tarif) 10 peratus berbanding negara lain yang dikenakan dalam 12.5 peratus.
“Jadi mana-mana syarikat atau industri yang ambil buruh tidak mengikut organisasi buruh antarabangsa contohnya dan terjebak dalam buruk paksa, dia boleh dikenakan tindakan kerana kita ada undang-undang.
“Tetapi sebab kita tidak ada undang-undang untuk melindungi negara lain yang guna buruh paksa, kemudian bawa masuk barang dalam negara kita sebagai input dan kita proses barang itu jadi produk Malaysia untuk eksport,” ujarnya – KOSMO! ONLINE














