Parit Buntar – Pihak berkuasa boleh menggunakan pelbagai akta dan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani kegiatan perjudian dalam talian, termasuk jenayah siber.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, undang-undang yang digunakan bergantung kepada jenis kesalahan dan aktiviti yang dilakukan.
“Apa-apa akta yang sedia ada, termasuk yang digunakan oleh pihak polis, boleh dikuatkuasakan mengikut kesesuaian.
“Terdapat banyak akta lain yang boleh digunakan, termasuk berkaitan jenayah siber. Jenayah dalam talian ini pelbagai dan kita menggunakan akta bersesuaian,” katanya ketika hadir di Majlis Peluncuran Program Komuniti Korektif, Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Piandang, di sini hari ini.
Mengulas mengenai cadangan meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi mewujudkan kesalahan khusus terhadap pihak yang secara sedar memudahkan perjudian dalam talian melalui penjualan atau penyediaan kredit dan tambah nilai, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. – KOSMO! ONLINE














