KOTA BHARU – Keadaan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah ketika ini jauh lebih baik dan menyakinkan selepas usaha memastikan kawasan berkenaan kembali aman menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dijalankan sejak hampir 13 tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ESSCOM melibatkan 10 daerah di kawasan Pantai Timur Sabah yang diklasifikasikan sebagai kawasan keselamatan, dengan gabungan tiga agensi utama bagi memastikan keadaan keselamatan kembali aman.
Katanya, peristiwa berdarah kira-kira 13 tahun lalu itu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat tempatan, malah turut menjejaskan potensi pelancongan di kawasan berkenaan yang merangkumi pulau, pantai, sungai dan hutan.
“Keadaan di Pantai Timur Sabah jauh lebih baik dan lebih meyakinkan selepas 13 tahun peristiwa itu. Justeru, kita kena jalankan program jangkauan supaya negara-negara luar yakin dengan keadaan keselamatan di sana.
“Pendekatan yang boleh dilaksanakan antaranya membawa duta dan perwakilan asing melawat kawasan Pantai Timur Sabah selama tiga hari dua malam bagi melihat keadaan keselamatan serta merasai sendiri pengalaman berada di kawasan berkenaan,” katanya selepas menyampaikan Pampasan Kematian (Skim Takaful Berkelompok) Kepada Keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini hari ini.
Saifuddin memberitahu, China merupakan antara penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke Pantai Timur Sabah diikuti negara Eropah terutamanya Jerman dan United Kingdom, selain Amerika Syarikat.
Katanya, ketibaan pelancong ke kawasan tersebut melalui laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Kota Kinabalu ke Tawau dan penerbangan terus ke Tawau. – KOSMO! ONLINE
















