fbpx
BESAR harapan Mohamad Shafiq untuk membuka bengkel berskala gudang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mohamad Shafiq mahu buka bengkel berskala gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“ILMU dalam bidang kemahiran sentiasa berkembang. Saya sendiri akan terus belajar dan meneroka bidang baharu serta berkongsi kemahiran dengan orang lain.”

Itu falsafah dipegang usahawan automotif, Mohamad Shafiq Zulkafli, 29, hasil pembelajaran dan kejayaannya sebagai salah seorang alumni dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Berkongsi kepada K-Kampus, anak jati Ipoh, Perak ini mengakui, dia mula mengenali dan memegang spanar sejak remaja ketika di bangku sekolah menengah lagi.

Menurutnya, dia langsung tidak pernah menyangka minatnya terhadap kereta yang dipengaruhi oleh bapanya sendiri akhirnya menjadi peluang kerjaya pada ketika ini.

Kini, dia memiliki dua bengkel automotif, SAZ Garage di Bandar Seri Botani, Ipoh, Perak dengan pendapatan mencecah lima angka sebulan.

Berkongsi lanjut, anak muda ini memulakan langkah dengan menyambung pengajian dalam bidang automotif di Kolej Komuniti Sungai Siput, Perak selama lebih setahun.

Seterusnya dia meneruskan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang sama di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak.

Menurutnya, tiga tahun di kampus menuntut ilmu dan melakukan kerja amali memberinya peluang menimba kemahiran membaiki pelbagai jenis kenderaan termasuk buatan Jepun, Korea dan jenis kontinental yang lain.

“Bidang TVET banyak membuka ruang kepada saya untuk belajar secara praktikal.

“Selain teori, saya dan rakan-rakan pelajar juga didedahkan dengan suasana bengkel sebenar.

MOHAMAD SHAFIQ kini memiliki dua bengkel automotif yang terletak di Ipoh, Perak.

“Ilmu inilah yang menjadi asas dan titik tolak kepada kejayaan saya hari ini,” katanya.

Selepas tamat pengajian, dia mula bekerja untuk mengumpul pengalaman sebelum mencabar diri membuka bengkel sendiri dengan sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya.

Berbekalkan bantuan kewangan daripada ayahnya, dia berjaya mengusahakan dua buah bengkel automotif yang menawarkan perkhidmatan baik pulih dan pengesanan bunyi kenderaan menggunakan mesin khas.

“Alhamdulillah lebih empat tahun beroperasi, kami kini ada tujuh pekerja tetap yang menjadi tulang belakang syarikat.

“Para pelanggan pula majoritinya mereka yang setia, percaya dan tetap dengan kepakaran kami dalam diagnostik kenderaan,” katanya.

Mengenai hala tuju, dia optimis dan memasang impian lebih besar untuk membuka sebuah bengkel berskala gudang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa sama, Mohamad Shafiq berjanji untuk berkongsi ilmu kemahirannya terutama dalam bidang automotif kepada mereka yang berminat dalam bidang TVET.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN