TEL AVIV – Siren serangan udara berbunyi semalam ketika tentera Israel memintas peluru berpandu Iran, serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata April lalu dalam Perang Asia Barat.
Pengawal Revolusi Iran berkata, serangan itu sebagai ‘amaran’ selepas Israel mengebom pinggir selatan Beirut terdahulu semalam. Tehran sebelum ini mengancam serangan yang lebih luas ke atas Israel sekiranya Beirut diserang.
Gencatan senjata 8 April lalu menghentikan permusuhan utama antara Iran dan musuhnya Israel serta Amerika Syarikat.
Namun, usaha untuk menjadikan gencatan senjata itu sebagai penyelesaian berulang kali terhenti. Serangan semalam pastinya akan melemahkan lagi harapan untuk keamanan berkekalan dengan perang Asia Barat memasuki hari ke-100.
Serangan bertubi-tubi Iran dilaporkan mendorong Presiden Donald Trump menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Trump menasihati Netanyahu supaya tidak melancarkan serangan balas walaupun pemimpin Israel itu berikrar untuk menyerang Iran sebaik diberikan lampu hijau.
“Israel telah menyerang (Beirut) dan Iran juga telah menyerang (Israel). Kita tidak memerlukan serangan lagi,” kata Trump yang dipetik laman berita Axios. – AFP














