fbpx
Keadaan luka yang dialami anak bongsu, Nurul Suhaila setelah terlibat dalam kemalangan maut di Simpang Renggam pada Isnin lalu.

Nahas Simpang Renggam: Kereta berpusing, terbalik dua kali – Pemilik Alza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya masih ingat bagaimana kereta kami berpusing sebelum terbalik dua kali. Sampai sekarang saya masih trauma dan berdebar-debar setiap kali hendak menaiki kereta.”

Demikian luahan mangsa nahas membabitkan lima kenderaan di Simpang Renggam, Johor baru-baru ini yang mendakwa melihat sebuah kereta BMW 530e dan Mercedes Benz dipandu laju dipercayai berlumba sebelum kemalangan berlaku.

Menurut Nurul Suhaila Azlan, 36, ketika kejadian, dia bersama suaminya, Husnizam Hisamudin, 43, serta dua anak mereka, Adif Zahfran, 11, dan Atea Zaharah, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli ubat anaknya di Renggam Jaya.

Katanya, dia dan suaminya melihat kedua-dua buah kereta tersebut dipandu laju sebelum pemandu BMW 530e melanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) milik mereka.

“Selepas lampu isyarat Penjara Simpang Renggam, saya dan suami nampak kereta Mercedes dan BMW itu seperti berlumba.

“Suami sempat mengelak, tetapi kereta BMW itu tetap menghentam bahagian belakang sebelah pemandu. Selepas dilanggar, kenderaan kami berpusing dan terbalik dua kali sebelum masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.

Menurut Nurul Suhaila, dia masih sedar sepanjang kejadian berlaku dan pengalaman tersebut meninggalkan kesan trauma yang mendalam.

“Sampai sekarang bila nak naik kereta saya akan berdebar dan menggigil kerana trauma,” luahnya.

Tambahnya, anak bongsunya, Atea Zaharah pengsan di dalam MPV ketika kejadian, manakala Adif Zahfran pula terkedu kerana terkejut.

“Anak-anak tidak menangis, anak lelaki macam terkejut, manakala anak perempuan pengsan,” katanya.

Mengulas keadaan terkini keluarganya, Nurul Suhaila berkata, suaminya cedera pada kaki, tangan, bahu selain bengkak pada muka, namun keputusan pemeriksaan sinar-X mendapati tiada kecederaan serius.

Dia dan anak keduanya pula hanya mengalami luka ringan dan lebam tanpa kecederaan serius.

“Atea Zaharah mengalami koyakan di bibir dan kecederaan pada hidung. Bibirnya terpaksa dijahit selain lebam dan calar di seluruh badan. Ketika dirawat di Zon Merah, dia terpaksa ditidurkan seketika.

“Alhamdulillah keputusan imbasan CT dan sinar-X menunjukkan tiada pendarahan atau patah tulang. Kami semua sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam,” katanya.

Nurul Suhaila berkata, keluarganya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan tersebut.

“Kami sudah melantik peguam dan akan memfailkan saman sivil. Nilai tuntutan masih belum ditentukan kerana masih menunggu keputusan pemeriksaan doktor pada Isnin ini,” katanya.

Terdahulu, lima individu termasuk empat sekeluarga maut selepas terlibat dalam nahas lima kenderaan pada pukul 1 tengah hari berhampiran Penjara Simpang Renggam, Isnin lalu

Siasatan awal mendapati nahas berlaku selepas kereta BMW 530e hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan Mercedes-Benz.

Sebelum ini, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang direman bagi membantu siasatan kerana memandu secara melulu dan berbahaya ditahan semula untuk siasatan kes bunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN