fbpx
STATUS pasangan mempunyai rekod jenayah, hubungan sekadar suka-suka antara penemuan diperolehi penyiasat persendirian.

PI bongkar sisi gelap bakal suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kira-kira 80 peratus individu yang mendapatkan khidmat penyiasat persendirian untuk menyemak latar belakang bakal pasangan akhirnya memilih untuk memutuskan hubungan atau membatalkan perkahwinan.

Keputusan itu dibuat selepas ‘rahsia’ pasangan yang disimpan ke­mas termasuk penyamaran de­mi wang dan hubungan sek­su­al semata-mata dan bukannya mahu menamatkan zaman bujang terbongkar.

Lebih mengejutkan, antara pe­nemuan ditemui selepas disiasat adalah pasangan yang dicintai itu merupakan penjenayah.

Ketua PI dan Perlindungan Kor­porat Tun Security Services Sdn. Bhd., Hafize Adnan berkata, kebanyakan pelanggan yang mendapatkan khidmat tersebut sememangnya mempunyai rasa curiga terhadap bakal pasangan yang didakwa bermasalah sebelum siasatan dijalankan.

“Kami hanya menyediakan laporan rasmi, bukti sebenar dan pandangan profesional. Terpulang kepada pelanggan untuk membuat keputusan, namun berdasarkan pengalaman, kira-kira 80 peratus memilih untuk menamatkan hubungan atau membatalkan perancangan perkahwinan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, isu paling kerap dikesan adalah penipuan identiti, status diri dan kewangan serta niat sebenar dalam perhubungan setelah analisis serta rujukan silang dilakukan.

“Ada individu yang me­nyamar dan berniat jahat untuk memanipulasi demi wang dan hubungan seksual semata-mata terhadap mangsa yang berniat untuk serius dalam perhubu­ngan.

“Selain itu, banyak kes men­dedahkan sikap dan kerjaya sebenar pasangan, malah ada yang dikesan merupakan penjenayah,” ujarnya.

Berhubung upah dikenakan, katanya, caj bermula dari RM500 sehingga belasan ribu ringgit bergantung kepada matlamat, pembuktian dan kesukaran me­laksanakan tugasan.

“Kos bagi semakan kategori biasa adalah dari RM500 dan ke atas untuk seorang individu dengan ia tidak termasuk kerja intipan. Tempoh untuk me­nyiapkan satu siasatan juga bergantung mengikut kes, kebiasaannya mengambil masa antara lima hingga 14 hari,” jelasnya.

Sementara itu, PI daripada ZNZ Delima Co yang mahu dikenali sebagai Jay berkata, antara penemuan mengejutkan sepanjang menjalankan siasatan adalah individu yang mendakwa masih bujang sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga lain selain pekerjaan palsu dan identiti tidak tepat.

“Ada juga yang menunjukkan gaya hidup yang jauh berbeza daripada apa yang ditunjukkan kepada pasangan.

“Antara isu paling kerap ditemui ialah ketidakjujuran mengenai status hubungan, hutang serius, pekerjaan yang tidak konsisten seperti didakwa dan hubungan dengan individu lain yang disembunyikan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan khidmat PI meningkat 50 peratus terutama daripada golongan yang mahu menyemak latar belakang pasangan sebelum berkahwin. Kebanyakan mereka adalah golongan profesional, dan individu yang melalui pengalaman hubungan bermasalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN