fbpx
Shazwani Julaili (kiri) serta Nailah Apandi antara wanita yang berani mengambil langkah pertama mendekati lelaki yang kini bergelar suami mereka.

‘Perigi cari timba’ tetap bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian wanita berjaya membuktikan jodoh yang diperoleh dengan pendekatan ‘perigi mencari timba’ juga mampu membawa kepada perkahwinan yang bahagia dan berkekalan ke anak cucu.

Melalui pendekatan itu, wanita mengambil inisiatif sendiri untuk mengenali dan mendekati pasangan yang diingini tanpa perlu menunggu si teruna memulakan langkah untuk bercinta dan berumah tangga.

Bagi Shazwani Julaili, 40, keberanian itu menjadi titik permulaan kepada kisah cinta yang kekal mekar sehingga hari ini selepas lebih 20 tahun hidup bersama.

Wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, dia mula mengenali lelaki yang kini menjadi pasangannya ketika berusia 17 tahun, manakala lelaki itu berusia 27 tahun.

Menurutnya, hanya sehari selepas pertemuan pertama, dia nekad meluahkan perasaan ­kerana terlalu tertarik dengan lelaki tersebut.

“Baru sehari berkenalan, saya terus beritahu saya sudah jatuh cinta dan mahu berkawan dengannya,” katanya menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, @shazas_kukuk.

Bagaimanapun, pengakuan ikhlasnya itu tidak disambut seperti diharapkan apabila lelaki tersebut menolak kerana menganggap Shazwani masih terlalu muda untuk menjalinkan hubungan serius.

Menurut Shazwani, dia tetap berusaha mendekati lelaki itu walaupun pelbagai alasan diberikan bagi menolak hasratnya.

“Selepas hampir setahun saling mengenali, hubungan kami terputus apabila lelaki ber­kenaan masih berpendirian bahawa kami tidak sesuai bersama.

“Kami kemudian tidak berhubung selama 67 hari sebelum lelaki itu kembali menghubungi­nya dengan pengakuan yang tidak disangka-sangka.

“Dia kata dia mula rindukan saya, rindukan suara dan senyuman saya, malah, dia mahu membawa saya bertemu ibu bapanya,” ujarnya.

Shazwani mengakui dia menangis kegembiraan apabila lelaki itu akhirnya menerima dirinya dan meluahkan perasaan yang sama.

Selepas lebih dua dekad bersama, dia tidak pernah menyesali tindakannya mengejar cinta kerana percaya hubungan yang dibina atas dasar kasih sayang, pengorbanan dan saling menghargai mampu bertahan lama.

Sementara itu, seorang lagi wanita, Nailah Apandi, 33, pula berpendapat, mereka juga berhak berusaha mendapatkan pasangan yang diinginkan, selagi dilakukan dengan cara yang sopan serta tidak menggadaikan maruah diri.

Menurutnya, wanita lazimnya mempunyai gambaran yang jelas mengenai ciri-ciri pasangan idaman, justeru tidak menjadi ke­salahan untuk menunjukkan minat terlebih dahulu kepada lelaki yang dirasakan sesuai.

“Perigi tahu timba yang dia mahu. Perigi mengorat timba sampai dapat. Betul kata pepatah Jawa, ‘She fell first, but he fell harder’ (dia yang jatuh cinta terlebih dahulu, tetapi lelaki itu akhirnya jatuh cinta dengan lebih mendalam),” katanya.

Menurutnya, dia dan suami­nya yang kini masing-masing berusia 33 tahun merupakan contoh bahawa hubungan yang bermula dengan keberanian wanita meluahkan perasaan terlebih dahulu juga mampu berakhir dengan kebahagiaan.

Seorang lagi wanita yang ha­nya mahu dikenali sebagai Aina, 34, berpandangan, pendekatan itu wajar dipertimbangkan golo­ngan wanita terutama yang semakin meningkat usia dan sukar bertemu pasangan sesuai.

“Jika hanya menunggu tanpa berusaha, mungkin jodoh yang sesuai terlepas begitu sahaja.

“Kadangkala wanita perlu berani mengambil langkah pertama bagi membuka ruang perkenalan yang mungkin membawa kepada perkahwinan.

“Pendekatan ini juga boleh membantu mengelakkan seseorang terus hidup bersendirian sehingga digelar anak dara tua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN