fbpx
AJAI berpendapat tiada masalah untuk penyanyi menghasilkan single, namun album memberi gambaran lebih lengkap kreativiti kelompok seni.

‘Album jadikan repertoir artis dinilai lebih adil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEDAKAN platform penstriman mungkin mengubah cara muzik dinikmati, namun sebuah album masih dianggap mahakarya paling ampuh dalam mengukur jiwa, identiti dan kematangan seseorang pengkarya.

Berpegang pada prinsip tersebut, Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) kembali mengangkat kecemerlangan karya tempatan sambil meniup semula semangat menghasilkan album penuh dalam era didominasi single.

Memasuki edisi ke-25, acara berkenaan terus menjadi pentas mengiktiraf kecemerlangan seni, selain memperkukuhkan standard industri muzik tempatan yang semakin berkembang mengikut peredaran zaman.

Memegang mandat sebagai Ketua Juri AIM25, Ajai berkata, budaya menghasilkan album penuh atau sekurang-kurangnya EP perlu dihidupkan semula kerana karya tidak seharusnya dinilai hanya menerusi satu lagu.

Kata pemilik nama sebenar Mohamad Faizal Maas itu, album membuka ruang lebih luas untuk juri memahami konsep, identiti dan perjalanan kreatif seseorang artis secara menyeluruh.

“Sekarang kami mahu menggalakkan artis kembali menghasilkan album penuh. Kalau bukan album penuh, sekurang-kurangnya EP.

“Bagi saya, sebuah single tidak mampu melambangkan keseluruhan perjalanan sesebuah album.

“Apabila ada lima atau 10 lagu dalam satu album, barulah kita dapat melihat nilai, hala tuju dan perkembangan karya tersebut,” katanya kepada HibGlam.

Tambah komposer berusia 51 tahun itu, album juga membolehkan repertoir seseorang artis dinilai dengan lebih adil berbanding hanya bersandarkan sebuah lagu.

“Melalui album, kita dapat mengenal pasti konsep sebenar mahu dibawa seseorang artis. Kalau hanya sebuah lagu balada misalnya, penilaian terlalu terhad.

“Mungkin ada satu lagu kurang menyerlah, tetapi lagu lain jauh lebih baik. Dari situlah kita melihat keseluruhan karya dan repertoir seseorang pengkarya.

“Tiada masalah untuk terus menghasilkan single, tetapi album memberi gambaran lebih lengkap tentang kreativiti artis,” ujarnya.

Paling penting kata pelantun lagu Aduh itu, syarikat rakaman juga wajar kembali memberi perhatian terhadap penerbitan album penuh atau EP demi memberikan pengalaman mendengar lebih memuaskan kepada peminat.

“Dahulu kos menghasilkan sebuah lagu sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sahaja, tetapi sekarang mencecah RM15,000 hingga RM20,000.

“Mungkin jika diterbitkan dalam bentuk album penuh, penerbit boleh menyusun semula kos penghasilan. Tidak boleh lagi menggunakan harga penghasilan sebuah single,” jelasnya.

Kesan AI

Ajai turut mengingatkan pengkarya agar tidak bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menghilangkan roh sesebuah karya.

Tegasnya, barisan juri profesional mempunyai kepakaran mengesan lagu yang dihasilkan menggunakan AI berdasarkan corak bunyi, vokal dan susunan muzik.

“Juri boleh tahu jika sesebuah lagu menggunakan AI kerana aplikasi tersebut lazimnya menghasilkan bunyi yang seragam.

“Kebanyakan suara dan susunan muzik juga hampir sama, malah daripada aspek penataan bunyi sekali pun kami mampu kesan perbezaannya,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, Ajai menyifatkan AI sekadar pangkalan data besar yang menggabungkan pelbagai serpihan melodi, namun tidak mampu menggantikan kreativiti manusia.

“Tidak salah menggunakan AI sebagai alat bantuan teknikal atau membetulkan bahagian tertentu, sama seperti penggunaan auto-tune.

“Namun jika guna secara berlebihan, hasilnya kedengaran tidak semula jadi.

“Jangan sampai AI menghasilkan keseluruhan karya, jika tidak, jiwa manusia dalam lagu akan hilang,” tegasnya.

Katanya lagi, proses penjurian AIM bukan sekadar menilai penyanyi atau penulis lirik, sebaliknya merangkumi keseluruhan aspek teknikal termasuk rakaman, adunan, penataan bunyi dan kualiti audio.

“Kami menilai setiap peringkat penghasilan karya, bermula sebelum rakaman sehingga ‘mastering’.

“Kami mahu didik pendengar supaya faham, tanpa kepakaran teknikal seperti penggunaan ‘reverb’, ‘delay’ dan aspek produksi lain, sesebuah karya sukar mencapai standard terbaik,” tutupnya.

RIM turut mengumumkan AIM25 bakal mencipta sejarah apabila berlangsung buat julung kali di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini.

Edisi kali ini turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik sebagai usaha mengiktiraf kepelbagaian budaya.

Proses penyerahan pencalonan AIM25 dibuka bermula 16 Julai hingga 6 Ogos depan menerusi laman rasmi AIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN