fbpx
Permintaan Allahyarham Raja Azreen Raja Talib ketika kumpulannya mengadakan persembahan di Festival Rock Teruntum, Kuantan, malam tadi bagai petanda pemergiannya.

‘Arwah nak serba hitam, lagu kedua rebah tersembam di dram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Mahu semua anggota Meditasi berbaju hitam, permintaan Allahyarham Raja Azreen Raja Talib, 56, ketika kumpulannya mengadakan persembahan di Festival Rock Teruntum, Kuantan, malam tadi bagai petanda pemergiannya.

Vokalis Meditasi, Bakaruddin Daud, 62, atau Burn berkata, sahabatnya itu mengutarakan cadangan tersebut disebabkan inginkan kumpulan mereka dengan imej ‘all black’.

“Arwah ingatkan kami memakai serba hitam. Tapi dia tak nak pakai baju T kerana badannya kurus, arwah nak pakai kemeja. Bagi saya terpulanglah, asalkan dia selesa.

“Sepanjang kami kenal sejak 1986 memang arwah yang menentukan imej kami sebab dia seorang yang sangat mementingkan gaya.

“Sebenarnya tak nampak perubahan lain pada arwah, kecuali ketika kami berlatih selama tiga hari di Raub, Pahang. Arwah cakap apa pun terjadi, persembahan perlu diteruskan.

“Arwah berkata begitu kerana rakan kami, pemain Rosli Ahmad juga kurang sihat,” katanya ketika ditemui di Surau Bangi Perdana, di sini, hari ini.

Menceritakan semula detik mencemaskan malam tadi, Burn berkata arwah rebah sewaktu mereka baru menyampaikan lagu kedua yang berjudul Begini Aku Begitu Engkau.

“Kami sepatutnya menyampaikan sebanyak 10 lagu, tetapi baru masuk dendangan kedua, arwah terus rebah dan saya bergegas mendapatkannya yang tersembam di dram.

“Tapi saya dapat rasakan arwah macam dah tiada. Saya panggil dan tepuk-tepuk arwah tapi tiada respons, badannya pun dah sejuk.

“Kami angkat bawa ke belakang, dalam beberapa minit ambulans sampai. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” ujarnya.

Sebagai sahabat yang mengenali arwah sejak 1988, Burn mengakui sangat merasai kehilangan selepas pemergian seorang demi seorang rakan seperjuangannya.

“Memang saya terkejut dan sangat ‘down’ dengan pemergian arwah apatah lagi sepanjang tiga hari latihan tiada sebarang perubahan sikapnya.

“Arwah lebih nampak teruja dan seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan. Langsung tiada tanda-tanda sakit.

“Saya cuma perasan badannya sangat kurus. Selepas disahkan menghidap kencing manis bulan lalu, arwah menjaga pemakanan dan elakkan gula,” katanya.

Mengenai hala tuju Meditasi yang kembali bersatu sedekad lalu, Burn berkata, dia dan Rosli juga masih belum memikirkan mengenai perkara tersebut.

“Kami masih belum berbincang tapi akan teruskan perjuangan kumpulan ini sebab arwah pun ada kata ‘show must go on’.

“Kami bukan lagi nak mengejar wang ringgit, hanya ingin mencari kawan serta mengisi masa lapang,” katanya.

Terdahulu, Raja Azreen rebah ketika menjayakan persembahan di Kuantan, Pahang, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan pukul 10.58 malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN