fbpx
10 tahun bergelar penyanyi, Syamel kini hadir dengan album debut berjudul Pertama.

Untuk arwah ibu, saya tulis lepas pemergian umi – Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bimbang gagal mengawal emosi, penyanyi Syamel mengakui sehingga kini dia masih belum berkeupayaan menyanyikan lagu khas buat arwah ibunya, Allahyarham Wan Faaizah Karim yang berjudul Bila Kau Tiada.

Menurut Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 32, lagu tersebut pernah dinyanyikan secara langsung buat pertama kali semasa konsert Syamel dan Ernie Zakri: Aku Cinta pada 2022, dan menganggap sebagai kali terakhir dipersembahkan di atas pentas.

“Lagu itu saya tulis selepas pemergian umi pada 2021 dan memang didedikasikan khas untuk arwah.

“Saya hanya pernah menyanyikannya sekali sahaja ketika konsert bersama Ernie hampir lima tahun lalu. Itulah kali pertama dan juga kali terakhir.

“Sehingga kini saya masih belum mampu menyanyikan lagu itu secara langsung kerana emosi saya pasti terganggu apabila teringatkan umi,” katanya ketika ditemui pada majlis pradengar eksklusif dan pelancaran album sulungnya, Pertama, semalam.

Pada masa sama, pelantun lagu Hamba Cinta itu terkilan apabila arwah ibunya tidak dapat menyaksikan detik bersejarah dalam hidupnya apabila berjaya menghasilkan album sulung.

Tambahnya, setiap trek yang terhasil mempunyai nilai sentimental dan ingatan mendalam terhadap arwah ibu yang menjadi pendorong utama dalam kerjaya seninya.

“Sudah tentu saya teringatkan arwah umi kerana dialah insan yang paling rapat dengan saya. Bukan hanya lagu Dalam Kenangan, malah semua lagu dalam album ini sentiasa mengingatkan saya kepada umi, termasuk Aku Bukan Dia, Pertama dan juga lagu rancak.

“Saya sedih kerana umi tidak berkesempatan mendengar lagu-lagu dan album pertama saya. Jika bukan kerana sokongan dan dorongan umi, mungkin saya tidak berada di tahap ini.

“Umi adalah insan yang menggalakkan saya menceburi bidang nyanyian. Jadi segala rintihan yang disampaikan dalam setiap lagu dan dalam album ini datang daripada kesedihan yang benar-benar saya lalui,” luahnya.

Selain itu, Syamel memaklumkan proses rakaman album sulung menuntut kekuatan fizikal dan emosi yang tinggi demi memastikan setiap bait lirik sampai ke dalam jiwa pendengar.

“Apabila merakamkan sesebuah lagu, kita perlu berada dalam emosi itu supaya pendengar dapat merasai dan menghayatinya.

“Sejujurnya, proses itu bukan mudah kerana sangat berbeza berbanding membuat persembahan secara langsung,” jelasnya.

Sebelum ini, ibu Syamel menghembuskan nafas terakhir pada 23 Ogos 2021 selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksiden dalam badan.

Selepas 10 tahun bergiat aktif dalam industri seni, Syamel akhirnya berjaya melancarkan album sulungnya berjudul Pertama yang akan dilancarkan pada 24 Julai depan.

Menariknya, Syamel turut terlibat dalam proses menulis dan mencipta tiga buat lagu dalam album tersebut.

Pertama menghimpunkan enam buah lagu yang sarat emosi seperti Beribu Tanda Tanya, Cukup Sekali, Aku Bukan Dia, Dalam Kenangan, Tunjukkan Ku Bahagia dan Pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN