fbpx
Gambar hiasan.

Insiden ditumbuk: Pemandu e-hailing OKU saman lima pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang terbabit dalam satu insiden ditumbuk di sebuah hotel di sini dua tahun lalu, memfailkan saman terhadap lima pihak di Mahkamah Tinggi di sini.

Ong Ing Keong, 49, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 10 Julai lalu menerusi firma guaman Messrs Daim & Gamany terhadap lima pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.

Dalam saman itu, plaintif menamakan dua anggota polis, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kejadian berlaku pada 28 Mei 2024 ketika plaintif mengambil penumpang di luar sebuah hotel di ibu negara.

Plaintif mendakwa, ketika itu penumpangnya sedang masuk ke dalam kenderaan, dia telah didatangi sebuah kenderaan lain yang berhenti berdekatan sebelum seorang individu mengarahkannya supaya beredar menggunakan isyarat tangan.

Selepas semua pintu keretanya ditutup, plaintif mengaku telah bersedia untuk bergerak, namun defendan pertama tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap kereta yang terbuka tanpa sebarang provokasi.

Ekoran kejadian itu, plaintif kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Travers pada sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa telah kembali ke balai sama pada pukul 5 petang dan mendakwa telefon bimbitnya diambil oleh pihak polis tanpa alasan yang sah.

Menurutnya, telefon bimbit itu hanya akan dipulangkan sekiranya menarik balik laporan polis dan memadam rakaman video kejadian selain turut dibiarkan menunggu selama beberapa jam tanpa diberikan akses kepada jurubahasa bahasa isyarat.

Justeru plaintif menuntut ganti rugi am terhadap defendan pertama untuk serangan, serang sentuh, dan kecuaian sementara defendan kedua bagi kes salah laku jawatan awam.

Plaintif turut menuntut deklarasi bahawa defendan ketiga, keempat dan kelima telah melanggar kewajipan statutori di bawah Akta Polis 1967 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Menurutnya, tuntutan itu dibuat kerana mendakwa telah diserang secara sengaja dan tidak sah.

Katanya, berlaku kecuaian dalam menjalankan tugas, termasuk gagal mengikut prosedur perlindungan, tidak memakai pakaian seragam yang boleh dikenal pasti, dan tidak menunjukkan kad kuasa.

Selain itu plaintif mendakwa berlaku tindakan melampau dan sewenang-wenangnya iaitu tindakan plaintif pertama menumbuknya tanpa provokasi.

Plaintif mendakwa berlaku salah laku jawatan awam kerana menekannya supaya menarik balik laporan polis.

“Defendan ketiga, keempat dan kelima selaku majikan atau principal, perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan defendan pertama dan kedua.

“Ia termasuk pelanggaran kewajipan statutory iaitu gagal memastikan prosedur polis dipatuhi dan gagal menyediakan kemudahan komunikasi (jurubahasa isyarat) bagi OKU di balai polis, yang bertentangan dengan Seksyen 30 Akta OKU 2008,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN