fbpx
ADZLI menunjukkan wajah lelaki tampan yang digunakan untuk memperdaya wanita Jepun pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.

Sindiket love scam guna lelaki tampan pikat wanita Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis Kedah menumpaskan sindiket love scam menyasarkan wanita di Jepun selepas menahan tujuh warga China dalam serbuan di sebuah bangunan kedai yang dijadikan pusat operasi panggilan di Taman Perindustrian Ringan Kristal di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, daripada tujuh suspek berusia 21 hingga 30 tahun itu, hanya seorang memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut mula beroperasi sejak bulan lalu selepas merekrut semua suspek di China sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja.

“Mereka dijanjikan peluang pekerjaan di Malaysia dan diberikan tiket penerbangan sebelum ditempatkan di premis itu dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan mengikut peranan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas 34 telefon bimbit, enam komputer riba, tujuh tetikus, lima papan kekunci dan pelbagai peralatan lain dianggarkan bernilai RM50,000.

Menurut beliau, sindiket berkenaan disyaki menggunakan aplikasi Langmate dan Line bagi mencari serta berkenalan dengan mangsa, khususnya wanita di Jepun.

“Suspek akan menyamar sebagai lelaki tampan untuk menjalinkan hubungan cinta sebelum mengenal pasti mangsa yang berpotensi diperdaya. Operator hanya bertugas mencari dan mengenal pasti mangsa.

“Maklumat mangsa yang berpotensi diperdaya kemudian diserahkan kepada satu lagi pihak lain dalam sindiket untuk tindakan lanjut termasuk mendapatkan nombor akaun bank bagi memperdayakan mangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai penyelia manakala enam lagi berperanan sebagai operator yang berkomunikasi dengan mangsa.

Katanya, polis turut mengesan seorang warga tempatan yang dipercayai menguruskan penyewaan premis tersebut.

“Premis itu dipercayai milik mentua individu berkenaan yang telah meninggal dunia, manakala semua urusan penyewaan dan penginapan suspek diuruskan oleh warga tempatan terbabit sebelum dia menghilangkan diri,” jelasnya.

Ujarnya, setakat ini polis mengenal pasti kira-kira 19 mangsa berpotensi hasil analisis data yang dirampas dan kesemuanya merupakan warga Jepun.

“Tiada mangsa rakyat Malaysia dikenal pasti setakat ini dan polis masih menyiasat nilai kerugian kewangan kerana kumpulan yang ditahan hanya berperanan di peringkat awal mencari mangsa,” katanya.

Tambahnya, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Polis Pulau Pinang dan jika perlu Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi dari luar negara.

“Semua suspek direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN