MELAKA – Melaka mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini melancarkan Inisiatif E-Mel Rakyat sebagai platform komunikasi rasmi kerajaan menerusi penggunaan domain @melaka.my.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan maklumat rasmi kerajaan dapat disampaikan secara terus, tepat dan selamat kepada rakyat tanpa bergantung kepada aplikasi media sosial yang sering menjadi medium penyebaran maklumat palsu.
Menurutnya, lambakan maklumat di pelbagai platform ketika ini menyebabkan orang ramai sukar membezakan antara hebahan rasmi dan mesej palsu sehingga ada yang menjadi mangsa penipuan.
“Saya sendiri menerima aduan daripada rakyat yang menerima mesej kononnya menawarkan bantuan RM100 daripada kerajaan negeri, namun apabila pautan itu dibuka, ia sebenarnya cubaan mendapatkan maklumat peribadi mereka.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri memperkenalkan E-Mel Rakyat melalui domain rasmi @melaka.my sebagai saluran komunikasi yang lebih tersusun, selamat dan diyakini,” katanya ketika melancarkan Inisiatif E-Mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Menurut beliau, sehingga 22 Julai lalu, sebanyak lebih 203,000 akaun E-Mel Rakyat berjaya didaftarkan, dengan lebih 193,000 daripadanya melibatkan murid, guru serta ibu bapa dan penjaga.
“Menerusi platform ini, pelbagai maklumat berkaitan bantuan kerajaan, peluang pendidikan, pekerjaan serta inisiatif kebajikan dapat disalurkan terus kepada kumpulan sasar tanpa melalui perantara.
“Melaka turut menetapkan sasaran untuk mengaktifkan akaun E-Mel Rakyat bagi 85,000 ketua isi rumah di 618 kampung tradisional di seluruh negeri menerusi aspirasi “1 Rumah, 1 E-Mel Rakyat.”, katanya.- KOSMO! ONLINE














