PETALING JAYA – Cendawan, petai dan tumbuhan liar antara yang ditemui di dalam beg dibawa pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, selepas hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini sejak dua minggu lalu.
Tumbuhan itu dipercayai digunakan Jaslinda untuk kelangsungan hidup selama ‘berseorangan’ mencari jalan keluar selepas ditemui penduduk Orang Asli, Nazri Bah Eng, 55, yang ketika itu mahu pergi memancing di Pos Musoh, kelmarin.
Selain tumbuhan liar, Jaslinda yang mengalami kecederaan pada kaki turut memaklumkan dia minum air embun dan air sungai sepanjang dua minggu untuk kelangsungan hidup.
Ketua Kumpulan Penyelidikan Universiti, Pemakanan Planetari, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Ts. Dr. Hasnah Haron berkata, petai mengandungi karbohidrat, protein, serat serta sedikit lemak yang boleh membekalkan tenaga.
Menurut beliau, kandungan karbohidrat membantu menghasilkan tenaga segera, manakala protein membantu mengurangkan kehilangan jisim otot sekiranya bekalan makanan sangat terhad.
“Bagaimanapun, petai sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga harian seseorang yang aktif bergerak di dalam hutan.
“Ia boleh membantu mengurangkan rasa lapar dan membekalkan tenaga sementara, tetapi kekurangan kalori, lemak serta pelbagai mikronutrien dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan keletihan, kelemahan otot dan penurunan berat badan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas tindakan individu yang makan daun atau tumbuhan hutan yang tidak pasti jenisnya, beliau berkata, risiko utama yang boleh dihadapi termasuk keracunan akibat bahan toksik semula jadi yang terdapat dalam tumbuhan tertentu.
Katanya, pengambilan tumbuhan yang tidak dikenal pasti juga boleh menyebabkan muntah dan cirit-birit sehingga mengakibatkan kehilangan air serta elektrolit dalam badan.
“Selain itu, individu berkenaan juga berisiko mengalami sakit perut, kekejangan usus, reaksi alahan termasuk bengkak pada mulut dan saluran pernafasan.
“Dalam kes tertentu, tumbuhan beracun boleh menyebabkan kerosakan hati atau buah pinggang, malah mengakibatkan halusinasi dan gangguan saraf,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas tindakan minum air yang diperoleh daripada daun dan tumbuhan seperti periuk kera, Hasnah berkata, sumber tersebut boleh membantu menambah sedikit pengambilan air ketika kecemasan.
“Periuk kera kadangkala mengandungi cecair di dalam kantungnya. Dalam keadaan kecemasan, cecair daripada tumbuhan atau air yang terkumpul pada daun boleh membantu menambah sedikit pengambilan air.
“Air daripada daun dan periuk kera boleh membantu melambatkan dehidrasi, tetapi tidak boleh dianggap sebagai sumber air yang mencukupi untuk jangka masa panjang di dalam hutan. Sumber air iaitu air anak sungai yang dididihkan lebih sesuai sekiranya keadaan mengizinkan,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Jaslinda menemui nota yang ditinggalkan pasukan penyelamat di Kem Air Busuk, Gunung Batu Putih di sini pada 30 Mei lalu.
Katanya, nota tertera pesanan ‘Kak Jas please stay satu tempat. Orang ramai mencari akak – Hafis’ yang ditemuinya dibawa keluar oleh Jaslinda dan ditunjukkan kepada pihak bomba kelmarin.
“Nota berkenaan ditinggalkan oleh malim gunung Hafis semasa dia membuat pencarian di kawasan berkenaan di mana fokus pencarian bermula dari Pos Musoh. Jaslinda hanya sampai ke kawasan berkenaan semalam,” katanya di sini hari ini.
Media kelmarin melaporkan Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ditemui oleh Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh setelah operasi SAR terhadapnya dilakukan selama dua minggu.














