fbpx
AIRIL (dua dari kiri) dan Ahmad Martadha (dua dari kanan) bersalaman selepas majlis MoU antara UUM dan TYMBA.

UUM, TYMBA meterai MoU bantu pelajar asnaf jadi akauntan bertauliah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan negara apabila memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pusat pendidikan perakaunan profesional global terkemuka, TYMBA Education Group (TYMBA) baru-baru ini. 

Berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, Sintok, Kedah, langkah ini untuk meruntuhkan tembok kekangan kewangan yang sering menjadi penghalang utama buat pelajar yang kurang berkemampuan.

Melalui integrasi strategik ini, laluan emas kini terbuka luas khususnya buat golongan asnaf dan bumiputera B40 untuk mengambil lesen profesional bertaraf dunia.

Kini, impian pelajar asnaf dan golongan B40 di UUM untuk bergelar akauntan bertauliah berada di landasan yang tepat.

Kerjasama strategik itu membabitkan integrasi dalam menyediakan platform latihan dan peperiksaan badan profesional terkemuka dunia seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Ini membolehkan pelajar daripada golongan tersebut untuk mengambil lesen profesional yang sah. 

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kolaborasi itu adalah bukti komitmen universiti dalam melonjakkan kebolehpasaran graduan, khususnya menerusi Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, inisiatif itu penting dalam merealisasikan impian pelajar di universiti tersebut dengan program yang dirangka dan  sokongan berstruktur yang bakal dilaksanakan secara bersama. 

“Pihak universiti amat memahami kos peperiksaan profesional menelan belanja  yang tinggi dan ia sering menjadi bebanan buat pelajar B40 dan asnaf. 

“Oleh itu, universiti kini sedang meneliti mekanisme penajaan yang inklusif termasuk menyalurkan dana zakat bagi membiayai lesen profesional mereka.

“Kita mahu memastikan kekangan kewangan tidak lagi menjadi alasan untuk mereka gagal bersaing dalam pasaran kerja yang kompetitif,” ujarnya.

AHMAD MARTADHA (kanan) dan Airil (dua dari kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di UUM, Sintok, Kedah baru-baru ini.

Tambah Ahmad Martadha, langkah tersebut juga dilihat sebagai sokongan padu UUM terhadap aspirasi negara yang meletakkan sasaran untuk melahirkan seramai 60,000 akauntan profesional pada masa hadapan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui dana zakat yang bakal disalurkan nanti, kelompok pelajar sasaran ini tidak perlu lagi bimbang memikirkan bebanan yuran pendaftaran serta peperiksaan yang mahal. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Group, Airil Razali berkata, pemeteraian MoU tersebut merupakan kesinambungan kepada hubungan kerjasama yang telah terjalin antara TYMBA dan TISSA-UUM sejak hampir setahun lalu.

Menurutnya, TYMBA yang merupakan pusat pendidikan perakaunan profesional global amat komited membantu pelajar perakaunan dari peringkat awal pengajian di universiti sehingga melangkah ke alam pekerjaan, khususnya golongan asnaf dan bumiputera B40.

Beliau berkata, TYMBA sentiasa bersedia menawarkan pelbagai bentuk tajaan dan sokongan kepada pelajar bagi memastikan mereka bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian di kampus, malah mampu memperoleh kelayakan profesional dan seterusnya menjadi akauntan bertauliah yang memenuhi keperluan industri.

Hubungan yang erat ini sekali gus dapat membuka ruang yang lebih adil kepada anak-anak golongan kurang berkemampuan untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan graduan lain.

“Matlamat kami adalah untuk membantu dan membimbing pelajar perakaunan dari peringkat universiti sehingga mereka berjaya membina kerjaya dalam industri serta menjadi akauntan bertauliah dan profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.  

Dalam pada itu, TYMBA juga turut mengumumkan beberapa inisiatif eksklusif termasuk pengenalan Anugerah TYMBA bernilai RM2,000 setiap seorang untuk dua pelajar cemerlang serta penajaan TYMBA Wall bernilai RM10,000 sebagai simbol komitmen jangka panjang terhadap kecemerlangan mahasiswa UUM.

Kerjasama ini dijangka memberi impak positif yang besar dalam mengubah landskap sosio ekonomi keluarga pelajar asnaf terbabit menerusi kerjaya profesional perakaunan.

“Apabila universiti, industri dan badan profesional bergerak seiring, kita bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut akademik, malah graduan yang mempunyai kemahiran, nilai dan daya saing untuk memimpin masa hadapan negara,” katanya.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian tersebut turut dihadiri dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri dan Penasihat Undang-Undang Universiti, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed.

Turut hadir sama ialah Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali serta barisan pegawai kanan universiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN