SIK – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Charok Pelandok, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi individu mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.32 petang.
“Setibanya di lokasi, ketua operasi mendapati kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Bezza yang dinaiki tiga mangsa dan Proton Persona dinaiki dua mangsa.
“Anggota kemudian melakukan pemantauan keselamatan di lokasi kejadian serta memberikan rawatan awal kepada mangsa yang terlibat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang menaiki Perodua Bezza terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan dua tahun serta seorang wanita berusia lingkungan 40-an.
Tambahnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE














