KLUANG – Pemandu Mercedes Benz A250 yang disyaki berlumba dengan abangnya hingga meragut nyawa empat sekeluarga di kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam, Isnin lalu ditahan semula bagi membantu siasatan membunuh.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek yang berusia 19 tahun yang sebelum ini direman tiga hari akan disambung reman semula di Mahkamah Majistret Kluang esok.
“Untuk makluman awal, tangkapan terhadap suspek akan dibuat semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Namun begitu, siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih diteruskan berdasarkan video tular yang menunjukkan kenderaan dibawa dipandu laju dan melulu,” katanya dalam kenyataan.
Suspek direman dua hari pada Selasa lalu sebelum disambung satu hari lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Terdahulu, Bahrin memberitahu kertas siasatan remaja itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
Dalam kejadian Isnin lalu, suspek dan abangnya berusia 22 tahun dipercayai berlumba sesama sendiri sehingga menyebabkan kemalangan lima kenderaan.
Kemalangan itu meragut nyawa empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73, anak dan menantunya, Aiman Mohd Rashid, 36, dan Nor Azlina Abd Latip, 33, serta anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Abang suspek yang memandu pemandu BMW 530e turut maut dalam nahas ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.-KOSMO! ONLINE














