BATU PAHAT – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya negeri (PRN) sudah pun selesai dan kini hanya menunggu persetujuan rasmi Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saifuddin berkata, perbincangan pembahagian kerusi itu dilakukan petang tadi yang melibatkan semua parti komponen PH.
“Cuma nak tunggu dimutkamadkan dan yang itu kena Pengerusi PH cop (luluskan) baru jadi, sehingga tadi dah selesai. Tak perlu gundah-gulana. Fokus kepada jentera, fokus kepada menyampaikan mesej yang matang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di Kim’s Park Business Centre di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi Majlis Pimpinan (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Saifuddin berkata, pendekatan PH bukan ‘us versus them’ tetapi lebih kepada kebersamaan iaitu Melayu, India dan Cina adalah satu keluarga besar yang menghormati antara satu sama lain.
Jelasnya, PH tidak memainkan politik yang menakutkan rakyat dengan bahawa Melayu akan hilang hak, agama tergugat dan bangsa tercabar sekali gus disifatkan sebagai politik toksik.
“Jangan bagi ruang kempen yang menakutkan, hilang hak, agama tergugat, bangsa tercabar. Saudara, Melayu, Cina, India adalah kebanggaan kita. Kita tak diminta lahir sebagai Melayu, sebagai Cina, sebagai India, tidak. Itu fitrah yang kita telah pun diberikan.
“Kerana itu, pendekatan Pakatan Harapan ialah pendekatan politik we are all together, bukan us versus them. Saya nak tekankan yang itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














