KLANG – Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) kekal utuh meskipun wujud kemungkinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hala tuju kerjasama antara PH dan BN bergantung kepada keputusan di peringkat pusat.
Namun, jelas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, pentadbiran kerajaan negeri masih mempunyai sokongan kukuh daripada 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Keputusan itu bukan keputusan PH Selangor sebaliknya bergantung kepada keputusan di peringkat pusat. Sama ada PH bersama BN atau tidak, kerajaan negeri masih utuh kerana kita ada 33 ADUN menyokong termasuk Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang),” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan kerjasama antara BN dan PN diyakini mampu mengubah landskap politik Selangor dengan potensi merampas enam kerusi Parlimen serta 34 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Keyakinan itu dinyatakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sekiranya dua gabungan itu masih meneruskan kerjasama selepas Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE














