SHAH ALAM – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu mengubah landskap politik Selangor dengan potensi merampas enam kerusi Parlimen serta 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keyakinan itu dinyatakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sekiranya dua gabungan itu masih meneruskan kerjasama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, pertandingan tiga penjuru hanya akan memecahkan undi Melayu sekali gus memberi kelebihan kepada PH untuk terus mempertahankan penguasaan di Selangor.
“Kalau bertembung juga keadaan itu sama ada UMNO atau Pas meletak calon, saya kata PH (Pakatan Harapan) akan menang.
“Saya nampak kita boleh setidak-tidaknya enam Parlimen dan 34 DUN di kawasan majoriti pengundi Melayu seperti Kuala Selangor, Shah Alam, Gombak serta Sungai Buloh,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam di sini, malam tadi.
Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berharap kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan membuahkan hasil positif.
“Saya gembira apabila apa yang dirancang dan diatur bagi mengelak pertembungan itu telah dilaksanakan di negeri berkenaan.
“Insya-Allah kalau calon UMNO dengan Pas tidak bertembung, undi Melayu tidak pecah dan akan memberi sokongan kepada kita,” ujarnya.
Katanya, pertembungan satu lawan satu dengan PH di Selangor diyakini akan memberi kesan kepada kuasa politik Melayu.
“Kalau hanya bertembung dua penjuru contohnya UMNO dengan PH, saya nampak kita boleh menang lebih baik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














