fbpx
Zamani Ibrahim

PRN Negeri Sembilan: Berjasa bertanding DUN Nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi menawarkan pilihan kepada pengundi Melayu Islam.

Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti perkembangan pengumuman calon oleh parti-parti yang bertanding selain mengambil kira dapatan kajian berkaitan corak pengundian di kawasan majoriti Melayu.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Melayu ialah ketiadaan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Menurutnya, parti itu tampil bagi mendengar serta memahami aspirasi pengundi Melayu Islam yang berdepan pelbagai cabaran dalam landskap politik negara ketika ini.

“Atas dasar prinsip serta bagi memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia, selain memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam untuk memilih calon Muslim yang berwibawa, Berjasa mengumumkan akan bertanding di kerusi N.10 DUN Nilai,” katanya, di sini, hari ini.

Ujar Zamani lagi, Nilai dipilih kerana disifatkan sebagai antara kawasan yang sesuai untuk memulakan usaha meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Selain itu menurut beliau, situasi sebelum ini menyaksikan semua calon bertanding di Nilai terdiri daripada bukan Melayu menjadi antara pertimbangan utama dalam membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, parti berkenaan masih berpegang kepada prinsip penyatuan Melayu dan tidak akan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu yang sudah mempunyai calon Melayu daripada Barisan Nasional (BN), Pas atau Parti Wawasan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN