SHAH ALAM – “Kalau undi Melayu tidak lagi berpecah, kita juga boleh menang dan rampas semula Selangor,”.
Demikian kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, Selangor mempunyai profil dan demografi pengundi yang hampir sama dengan Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang untuk formula berkenaan dipertimbangkan pada pilihan raya akan datang.
“Namun, kita perlu melihat dahulu keputusan PRN itu sebelum sebarang perbincangan dibuat kepimpinan antara kedua-dua pihak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Subang di sini, malam tadi.
Khairy berkata, kerjasama itu juga menjadi medan menguji sejauh mana penyatuan undi Melayu mampu memberi kelebihan kepada BN, Pas dan Wawasan.
“Jika ada keikhlasan dan kesungguhan daripada dua pihak, kita mahu lihat sama ada penyokong BN boleh memberi undi kepada calon Pas.
“Sekiranya undi Melayu tidak lagi berpecah, formula itu mampu memberi kelebihan untuk merampas dan menang di Selangor,” ujarnya.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut berpandangan terdapat sesuatu yang tidak kena dalam kerjasama antara BN dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Kita sudah beri peluang selama empat tahun dan duduk bersama dalam Kerajaan Persekutuan. Ada sesuatu tak kena dengan kerjasama kita dan bukan sikit tetapi banyak.
“Namun, BN tidak perlu keluar daripada kerajaan ketika ini kerana kestabilan negara perlu diutamakan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














