SEREMBAN – Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 secara rasmi dibuka semalam melalui proses penamaan calon yang menyaksikan seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Lebih menarik perhatian apabila PRN Negeri Sembilan menjadi medan pertempuran paling sengit apabila memecah kuasa tiga kem utama terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) selaku penyandang, gabungan taktikal baharu Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memilih untuk bergerak solo.
Sebaik tirai pusat penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa majoriti daripada 36 kerusi DUN akan menyaksikan saingan sengit berbilang penjuru, dengan sebahagian besarnya merupakan pertembungan tiga penjuru.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 103 kertas penamaan calon diterima dan disahkan layak bertanding, membabitkan wakil daripada pelbagai parti politik serta calon Bebas.
Menurut beliau, PH mempertaruhkan 36 calon, diikuti BN dengan 25 calon manakala Bersatu (24 calon), PN (11) calon dan empat calon Bebas.
“Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Seremban semalam.
Ramlan memaklumkan tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses penamaan yang berlangsung di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh Negeri Sembilan.
Dari segi persaingan katanya, 21 kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 11 kerusi satu lawan satu, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.
Beliau turut memaklumkan daripada keseluruhan 103 calon yang bertanding, seramai 94 ialah lelaki manakala sembilan lagi wanita.

Mengikut pecahan umur, tiga calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 12 calon( 30 hingga 39 tahun) , 39 calon (40 hingga 49 tahun) , 33 calon ( 50 hingga 59 tahun) dan 16 calon berusia 60 tahun ke atas.
Ramlan berkata, calon PH bagi DUN Gemencheh, Abd Latif A Tambi, berusia 70 tahun, merupakan calon tertua, manakala calon Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Leevineshwaraan Murugan, 23, ialah calon termuda.
“Tempoh rasmi berkempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan pertandingan dibuat hari ini dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 31 Julai,” katanya.
Dalam pada itu, tumpuan utama pastinya terarah kepada Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang membuat keputusan berani beralih dari kubu kuatnya di DUN Sikamat untuk mencabar kawasan tradisi BN di DUN Linggi.
Peralihan ini meletakkan beliau dalam pertembungan tiga penjuru secara langsung menentang penyandang dari BN, Datuk Mohd. Faizal Ramli dan calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said.
Bagi menyekat kemaraan PH, BN dan PH yang diwakili PAS, Gerakan, Wawasan, dan MIPP membentuk pakatan pilihan raya unik. Di bawah persefahaman ini, BN meletakkan 25 calon, manakala baki 11 kerusi lagi diisi oleh komponen PN bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan memaksimumkan pengundian Melayu.
Antara tokoh besar kem ini yang mengekalkan posisi termasuklah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau dan Datuk Seri Jalaluddin Alias di DUN Pertang.
Bersatu pula memilih laluan sendiri apabila mengambil keputusan luar jangkaan dengan keluar daripada konsensus PN negeri untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
Bersatu menyertai persaingan di 24 kerusi DUN, sekali gus memecah undi di kawasan-kawasan kritikal.














