fbpx
Sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang ditahan selepas mengangkut sebanyak 350 kg durian seludup di pangkalan haram Abe Li Posmen, Rantau Panjang semalam. FOTO IHSAN PGA

Lelaki kempunan, 350kg durian Thailand dirampas PGA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki untuk menghantar sebanyak 350 kilogram (kg) durian seludup ke premis jualan milik majikannya di Pasir Puteh dekat sini tidak kesampaian selepas dicekup di pangkalan haram Abe Li Posmen di sini semalam.

Suspek yang berusia 20 tahun ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 9.30 pagi selepas beberapa individu memunggah kesemua buah-buahan tersebut ke dalam sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton dipandu lelaki itu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mendapati sebuah trak pikap berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram yang terletak di tebing Sungai Golok itu semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.

Katanya, pemeriksaan pada bahagian tempat duduk belakang dan muatan kenderaan itu menjumpai sebanyak 350 kg buah durian dianggarkan bernilai RM1,750 yang tiada sebarang dokumen sah.

“Suspek memaklumkan durian tersebut ditempah oleh majikannya sebelum dia ditugaskan untuk mengambil buah itu untuk dibawa ke tempat jualan di Pasir Puteh dekat sini.

“Durian itu dipercayai berada di tebing sungai dan beberapa lelaki sudah menunggu untuk mengangkut buah tersebut ke dalam muatan trak pikap dipandu suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, suspek yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok Gaal, Pasir Puteh memandu trak pikap milik bapanya yang dibeli daripada seorang rakan, namun kenderaan tersebut belum ditukar hak milik.

Tambahnya, kesemua buah durian termasuk trak pikap dipandu suspek dibawa ke Kompeni Taktikal PGA Taman Bakti di sini untuk proses dokumentasi dan kes disiasat Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Berdasarkan rekod, lelaki itu merupakan suspek kedua yang ditahan PGA selepas cuba mengangkut buah durian seludup di pangkalan haram Abe Li Posmen di sini dalam tempoh lebih seminggu.

Pada 9 Julai lalu, seorang ‘transporter’ dicekup selepas mengangkut sebanyak 700 kg durian seludup dengan menggunakan sebuah trak pikap di pangkalan haram berkenaan.

Suspek yang berusia 23 tahun itu merupakan pekerja sambilan kepada seorang wanita ditugaskan untuk mengangkut buah durian dari pangkalan haram tersebut ke Pasir Puteh dan menerima upah secara harian sebanyak RM60 hingga RM70 sehari bergantung kepada hasil jualan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN