PETALING JAYA – Pelakon Abby Abadi menyifatkan jejaka dipercayai sedang rapat dengan anaknya, Marissa Dania Hakim iaitu Munir Akhunov sebagai individu yang mempunyai keperibadian yang baik.
Pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkongsi mengenai latar belakang Munir yang juga pempengaruh berhijrah ke Malaysia untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Berulang kali dah mama jumpa berdepan macam ini dan macam-macam topik dah sembang.
“Alhamdulillah, anak yang baik. Sangat menghormati orang lain dan penuh adab.
“Bagilah ruang, tiada manusia yang sempurna. Munir ini merantau ke Malaysia ikut ejen.
“Sambung belajar dan bekerja sekali. Baru sangat dia berkawan dengan anak saya dah keluar cerita macam-macam,” katanya dalam TikTok.
Mengulas mengenai pelbagai spekulasi buruk dan dakwaan masa silam Munir, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu menegaskan isu kewangan yang dibangkitkan sebelum ini sebenarnya sudah pun diselesaikan.
“Cerita 2019 pun keluar semula, biasalah budak muda, berkawan dan bercinta tapi tak jadi. Kita pun pernah muda.
“Tapi bab-bab yang tak sepatutnya jadi ungkitan, pinjam-meminjam itu dah dibayar balik pun.
“Munir kata dia masuk sini umur 18 atau 19 tahun. Logiklah dia tak ada apa-apa masa itu,” ujarnya.
Pada masa sama, Abby mengharapkan doa yang terbaik daripada orang ramai, di samping menitipkan pesanan agar pemuda itu membuktikan tohmahan netizen terhadap dirinya adalah salah.
“Kita semua manusia, serba kekurangan tak ada yang tak pernah buat silap. Jadi, doakan yang baik-baik untuk kita semua okey.
“Untuk Munir, macam mama cakap dekat awak, buktikan yang awak bukan begitu. Buat adik, jaga diri, jangan gaduh-gaduh,” katanya.
Sebelum itu, nama Marissa menjadi bahan bualan hangat selepas Munir memuat naik fotonya dalam satu hantaran InstaStory.
Perkongsian tersebut sekali gus mencetuskan tanda tanya ramai yang mendakwa Marissa sudah menemui pengganti baharu. – KOSMO! ONLINE














