PETALING JAYA – Komik tempatan Nirnama berpotensi melakar sejarah di pentas antarabangsa apabila menerima minat daripada sebuah pihak di Turki yang berhasrat membawa karya itu ke pasaran global menerusi terjemahan ke beberapa bahasa.
Perkembangan itu dikongsikan pencipta komik tersebut, Hilal Asyraf menerusi satu hantaran di laman Threads selepas membalas persoalan seorang pengguna mengenai mengapa komik tempatan sukar menembusi pasaran luar negara.
Menurutnya, pihak terbabit bercadang menterjemahkan Nirnama ke dalam bahasa Inggeris, Arab dan Turki sekiranya proses penilaian berjalan lancar.
“Doakan Nirnama. Ada pihak dari Turkiye sedang berminat nak bawa komik Nirnama ke peringkat antarabangsa. Katanya nak terjemah ke Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Turki.
“Kami sedang fasa siapkan bahan-bahan asas yang diminta untuk penilaian,” katanya.
Untuk rekod, Nirnama merupakan komik adaptasi daripada novel popular karya Hilal Asyraf yang menggabungkan genre aksi, pengembaraan dan fantasi. Siri itu mengisahkan perjalanan seorang pendekar tanpa nama yang mengembara bagi menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dalam sebuah dunia fiksyen.
Komik tersebut diterbitkan dalam beberapa siri utama termasuk Nirnama: Kelana Pendekar Tanpa Nama yang memuatkan kisah-kisah awal pengembaraan watak utama, diikuti Nirnama: Hikayat Pendekar Tanpa Nama yang meneruskan naratif asal karya berkenaan. – KOSMO! ONLINE














