fbpx
Johari pada sidang akhbar selepas Program Sarapan Pagi dan Ramah Mesra bersama penduduk PPR Perkasa di Surau Babul Khairat, Cochrane di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI

Bayar PPR RM124, sewakan kepada orang luar RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan unit kediaman kepada pihak ketiga termasuk warga asing perlu dipandang serius kerana menjejaskan matlamat asal pembinaan perumahan itu untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan penjualan rumah PPR adalah langkah tepat selepas berlaku penyalahgunaan oleh segelintir pemilik.

Menurut beliau, terdapat pemilik yang memperoleh unit dengan kadar sewaan sekitar RM124 sebulan sebelum mengambil kesempatan menyewakannya kepada orang luar sehingga mencecah RM1,000 sebulan.

“Apabila rumah itu menjadi hak milik, ada yang gagal membayar kos penyelenggaraan dan menyewakannya kepada pihak lain termasuk warga asing. Keadaan ini bercanggah dengan tujuan asal PPR diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sarapan Pagi dan beramah mesra bersama penduduk PPR Perkasa di sini hari ini.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagaimanapun berkata, penjualan PPR masih boleh dipertimbangkan kepada pemohon yang benar-benar layak dengan mekanisme yang lebih tersusun.

Johari turut mencadangkan supaya kerajaan membangunkan projek perumahan baharu khusus bagi penghuni PPR yang berhasrat memiliki kediaman sendiri.

Selain itu, beliau mencadangkan DBKL menjalankan kaji selidik mengikut blok PPR bagi mendapatkan persetujuan majoriti penduduk sebelum sebarang keputusan penjualan dibuat.

“Jika penjualan dibuat berdasarkan persetujuan majoriti bagi setiap blok, ia akan lebih terancang dan dapat mengelakkan pelbagai masalah pada masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata, semua cadangan itu akan dikemukakan secara rasmi kepada DBKL bagi membantu menyelesaikan isu penyewaan dan pemilikan PPR.

Menurutnya, ketika ini kira-kira 70,000 pemohon masih menunggu giliran untuk mendapatkan unit PPR, namun pada masa sama terdapat pemilik sedia ada yang memilih menyewakan rumah masing-masing berbanding menyerahkannya semula kepada DBKL.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN