KUALA LUMPUR – Penganjuran Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada waktu malam menjadi simbol bahawa warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu negara sentiasa bersiap siaga dan tidak pernah ‘tidur’ dalam menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perhimpunan yang diadakan pada waktu malam itu memberi gambaran jelas bahawa penugasan polis di Kuala Lumpur berlangsung tanpa henti selama 24 jam.
Beliau berkata, Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar metropolitan berkepadatan tinggi merekodkan kebanyakan kejadian jenayah pada waktu malam, justeru kekuatan anggota sentiasa digerakkan sepanjang masa.
“Kita mahu memberi isyarat bahawa Kuala Lumpur tidak pernah tidur. Penugasan polis di sini berjalan 24 jam, siang dan malam.
“Perhimpunan bulanan pada waktu malam bukan mengganggu operasi, sebaliknya menunjukkan budaya kerja polis yang aktif pada waktu malam kerana banyak operasi, risikan dan siasatan dijalankan ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur, di sini malam ini.
Fadil berkata, perhimpunan malam itu merupakan kali kedua diadakan selepas mendapat galakan daripada Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.
Menurutnya, pendekatan tersebut akan diteruskan sebagai manifestasi komitmen PDRM dalam memastikan keselamatan ibu negara sentiasa berada pada tahap terbaik. – KOSMO! ONLINE














