fbpx
Pegawai penguat kuasa ketika melakukan pemeriksaan menerusi rondaan bermotosikal di stesen minyak sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

12 kes seleweng diesel dibongkar, rampasan lebih RM800,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes penyelewengan diesel bersubsidi berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menerusi Op Tiris 4.0 sejak Mac lalu.

Rampasan keseluruhan dianggarkan melebihi RM800,000 dengan 27 individu membabitkan warga tempatan dan asing turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, sindiket terbabit dikesan sentiasa mengubah modus operandi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, pada peringkat awal, kegiatan itu dilakukan menggunakan pemandu lori yang memanfaatkan kad bahan api bersubsidi (Fleet Card) sebelum peranan tersebut diambil alih oleh ‘runner’ yang menguruskan pengisian diesel ke dalam tangki lori yang telah diubah suai.

“Selepas taktik itu berjaya dikesan, sindiket dipercayai mengubah strategi dengan membuat urusan secara terus bersama pengusaha stesen minyak atau pemilik lori.

“Modus operandi mereka sentiasa berubah mengikut keadaan semasa, namun kita juga sentiasa peka dengan taktik baharu bagi memastikan ketirisan diesel bersubsidi dapat dibanteras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Op Tiris 4.0 menerusi rondaan bermotosikal di lebih 20 stesen minyak sekitar ibu negara, hari ini.

Terdahulu, operasi yang disertai kira-kira 12 pegawai dan anggota itu dijalankan bermula pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi bagi memantau sebarang aktiviti mencurigakan di stesen minyak sekitar ibu negara.

Mohd. Shahran berkata, pemeriksaan yang dijalankan tidak menemukan sebarang aktiviti penyelewengan di semua stesen minyak yang diperiksa.

“Di bawah inisiatif Kita Gempur dan Op Tiris 4.0, kami melaksanakan pemeriksaan secara proaktif termasuk rondaan bermotosikal serta pemantauan berpakaian preman di stesen minyak di seluruh Kuala Lumpur,” ujarnya.

Beliau menegaskan, KPDN Kuala Lumpur akan terus memperhebat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

“KPDN Kuala Lumpur memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak serta pemilik lori supaya tidak bersekongkol dengan sindiket kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN