PETALING JAYA – Sebanyak 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan perdagangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 18 Julai lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan SKDS di tiga wilayah itu yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan jumlah pendaftaran daripada syarikat yang layak.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,116 syarikat membabitkan 3,433 kenderaan berada dalam sektor Pengangkutan Darat (Awam), 18,770 syarikat dengan 51,679 kenderaan bagi sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) dan 7,241 syarikat melibatkan 13,557 kenderaan bagi sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat Jip dan Pikap).
“Di peringkat nasional pula, sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS setakat 18 Julai lalu,” katanya ketika Majlis Penyerahan Fleet Card SKDS hari ini.
Beliau berkata, syarikat yang telah diluluskan di bawah SKDS kini boleh mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak PETRONAS, Shell dan Petron bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital.
Katanya, penggunaan fleet card bukan sahaja memudahkan urusan pembelian diesel bersubsidi, malah mampu memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, KPDN kini sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SKDS berdasarkan maklum balas pemain industri serta isu operasi yang dikenal pasti.
“KPDN juga akan meneruskan sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan pelaksanaan SKDS mengambil kira keperluan operasi di lapangan tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi,” katanya.
Beliau turut menggesa syarikat yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi bagi menikmati kemudahan subsidi diesel bersasar.-KOSMO! ONLINE














