PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Langkawi di Kedah.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Negeri Sembilan (Port Dickson), Melaka dan Johor (Tangkak dan Muar)” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Serian (Serian), Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE















