PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan 30,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh berkata, sasaran itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi penawaran barangan asas pada harga lebih rendah.
“Sebab itulah, hari ini saya turun padang meninjau sendiri pelaksanaan PJRM di Kawasan Rukun Tetangga Rasah Tengah A, Seremban untuk melihat sambutan masyarakat terhadap inisiatif ini.
“Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan. Tidak termasuk orang ramai yang pulang dengan senyuman sambil membawa barangan keperluan pada harga lebih rendah adalah sesuatu yang cukup menggembirakan hati saya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, sehingga kini KPDN sudah mempunyai 2,004 rakan strategik termasuk 609 kedai runcit dan 35 koperasi dalam PJRM di seluruh negara.
“Kerjasama inilah yang membolehkan manfaat program ini sampai terus kepada rakyat.
“Insya-Allah, KPDN akan terus memperluaskan PJRM supaya lebih ramai Malaysia menikmati manfaatnya dan kos sara hidup dapat terus diringankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














