MELAKA – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang, di sini dengan menggunakan dron dalam kejadian pada 15 Julai lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, turut ditahan seorang wanita bagi membantu siasatan selepas kedua-duanya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kris Satria, Sungai Udang kira-kira pukul 4 petang pada hari sama.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan laporan polis yang diterima kira-kira pukul 3.10 petang berhubung pencerobohan dron di kawasan Penjara Sungai Udang yang disyaki digunakan untuk menyeludup barang larangan.
“Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Melaka bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka dengan kerjasama Balai Polis Sungai Udang.
“Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun serta merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam cubaan menyeludup rokok ke dalam penjara menggunakan dron,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Dzulkhairi, pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada rampasan peralatan dron, tembakau yang dipercayai untuk diseludup, peranti komunikasi serta beberapa barangan lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum cuba menyeludup masuk rokok kepada seorang banduan.
“Siasatan turut mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang,” ujarnya.
“Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif dadah. Semakan mendapati, suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995. – KOSMO! ONLINE
















