fbpx
Ahmad Zahid akan menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di Bangi Square 2 awal pagi Isnin ini.

Final Piala Dunia 2026: TPM sertai peminat gegar Bangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Bahang perlawanan akhir Piala Dunia 2026 bakal dirasai lebih meriah apabila peminat bola sepak tanah air berpeluang menyaksikan aksi kemuncak kejohanan itu menerusi program Viewing Party & Semarak Subuh bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangi Square 2 awal pagi Isnin ini.

Program yang bermula jam 12 tengah malam itu dianjurkan bersempena pertemuan antara juara bertahan, Argentina dan Sepanyol, yang dijangka menjadi tumpuan jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Menerusi tayangan skrin besar yang disediakan, pengunjung boleh bersama-sama merasai debaran aksi final dalam suasana santai dan penuh semangat bersama keluarga, rakan-rakan serta komuniti setempat.

Selain menyaksikan perlawanan, orang ramai turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk segmen Borak Bola yang menampilkan beberapa legenda dan bekas pemain bola sepak negara seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, Farizal Marlias dan Zaquan Adha.

Tidak ketinggalan, program itu turut menampilkan persembahan hiburan daripada

Poster program Viewing Party & Semarak Subuh bersama Ahmad Zahid.

Babah Naden, Ayam Kahau dan Angah Raja Lawak selain acara kuiz bola sepak, cabutan bertuah serta peluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Menurut penganjur, penganjuran Viewing Party berkenaan bertujuan mewujudkan satu platform yang mampu menghimpunkan masyarakat menerusi minat terhadap bola sepak, selain meraikan detik bersejarah final Piala Dunia 2026.

“Bola sepak mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Kami mahu menyediakan ruang kepada peminat untuk menikmati aksi final Piala Dunia dalam suasana lebih dekat, meriah dan penuh kenangan bersama,” katanya.

Katanya, kemudahan makanan dan minuman turut disediakan bagi memastikan keselesaan pengunjung yang hadir menyaksikan perlawanan sehingga tamat.

Selepas tamat aksi final, program diteruskan dengan pengisian kerohanian menerusi Semarak Subuh bersama Dr. Ahmad Zahid di Surau Al-Hamidiah, Kajang.

Penganjur mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan program yang menggabungkan elemen sukan, hiburan dan kerohanian itu.

Pengunjung juga dinasihatkan hadir lebih awal bagi mendapatkan lokasi terbaik serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang berlangsungnya program berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN