KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau apa-apa identiti rasmi pasukan bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, identiti rasmi PDRM merupakan aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh dieksploitasi bagi memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi yang mengelirukan.
Menurut beliau, kehadiran mana-mana pegawai PDRM dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai pengendorsan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat kelulusan atau sokongan rasmi PDRM hanya berdasarkan penglibatan warga PDRM dalam sesuatu program,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang menggunakan identiti rasmi PDRM secara tidak sah atau bagi tujuan yang mengelirukan sehingga mewujudkan persepsi bahawa PDRM mengendors sesuatu produk atau perkhidmatan boleh disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.
Mohd. Khalid berkata, PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan serta memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM. – KOSMO! ONLINE















