fbpx
Pendapatan ejen insurans dan takaful merosot sehingga 30 peritus berikutan orang ramai menggunakan platform digital.

‘Masa kemalangan baru nak cari kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kewujudan platform digital yang memberi kemudahan kepada orang ramai melakukan sendiri urusan secara dalam talian memberi tempias kepada ejen insurans dan takaful menyebabkan pendapatan mereka merosot sehingga 30 peratus.

Sebelum ini, khidmat ejen itu ke­rap digunakan pemilik ken­deraan untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan sebelum aplikasi dan web mengambil alih sepenuhnya peranan tersebut.

Ketika ini dianggarkan terdapat lebih 15,000 wakil takaful am di seluruh negara termasuk 1,000 orang yang berdaftar di bawah Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam).

Seorang ejen insurans, Mohd. Elam Mohamed berkata, sejak 15 tahun lalu, dia menguruskan pelanggan yang mahu memperbaharui cukai jalan dan insu­rans selain menawarkan khidmat nasihat serta bantuan selepas jualan.

“Sekarang ramai pe­langgan yang melakukannya sendiri dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

“Ada pelanggan yang minta sebut harga daripada agensi kami, namun ak­hirnya membatalkan urusan kerana platform lain lebih murah dan mudah.

“Agensi saya antara yang terkesan sehingga menyebabkan pendapatan merosot 20 hingga 30 peratus,” katanya kepada Kosmo!.

ELAM

Mohd. Elam berkata, ejen bertauliah perlu memenuhi pelbagai syarat profesional termasuk menghadiri latihan dan memperoleh jam kredit setiap tahun bagi mengekalkan lesen masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan semakin ramai ejen mempersoalkan mengenai ke­adilan persaingan dengan kewujudan platform yang didakwa menawarkan perkhidmatan sama tanpa melalui proses yang setara.

“Kami membuka agensi, mempunyai pekerja dan menanggung kos operasi. Kami cuma mahukan padang persaingan yang sama rata,” katanya.

Seorang lagi ejen, Syameem Ahmad, 35, berkata, pelanggan yang memperbaharui polisi melalui ejen bukan sekadar membeli insurans, sebaliknya mendapat khidmat nasihat dan bantuan selepas jualan termasuk pengurusan tuntutan kemala­ngan, pembatalan polisi dan urusan berkaitan sepanjang tempoh perlindungan.

Beliau yang berpe­ngalaman sebagai ejen selama sembilan tahun berkata, kira-kira 60 peratus pendapatannya bergantung kepada pelanggan sedia ada yang memperbaharui polisi setiap tahun.

“Kira-kira 20 hingga 30 peratus pelanggan saya mula beralih kepada platform digital, jadi kami terpaksa mencari pe­langgan baharu. Saya akui tugas itu bukan mudah.

“Untuk mendapatkan pe­langgan baharu mungkin se­nang, tetapi untuk meyakinkan mereka supaya memilih perkhidmatan kami jauh lebih sukar berban­ding mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya.

SYAMEEM

Syameem mengakui terdapat pelanggan yang kembali mendapatkan khidmat ejen selepas berdepan kesukaran termasuk mendapatkan bantuan selepas berlaku kemalangan atau urusan tuntutan.

Katanya, komisen yang di­terima ejen tidak besar iaitu 10 peratus daripada nilai premium dan jumlah tersebut digunakan untuk menampung kos operasi seperti gaji kakitangan, sewa pejabat, utiliti dan cukai.

“Ramai yang fikir kami mendapat untung besar, sedangkan komisen itu digunakan untuk membayar kos operasi. Jadi bila sebahagian pelanggan ‘lari’, ke­sannya amat dirasai,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perwatam, Datuk Khairi Anuar Ahmad mendakwa, kemudahan platform digital untuk memperbaharui insurans berpotensi memberi kesan besar kepada ribuan ejen insurans dan takaful di seluruh negara sekiranya isu persaingan industri tidak diteliti.

Menurut beliau, Perwatam mempunyai hampir 1,000 ahli, namun jumlah keseluruhan wakil takaful am di negara ini dianggarkan melebihi 15,000 orang.

“Kami tidak menolak usaha pendigitalan kerajaan. Kami menyokong transformasi digital, tetapi ia perlu dilaksanakan secara adil kepada semua pemain industri.

“Kalau persaingan itu sihat, kami tiada masalah. Namun apabila hanya pihak tertentu diberi ruang dalam platform rasmi kerajaan, ia menimbulkan per­soalan mengenai kesaksamaan kepada ejen yang bertahun-tahun membina kerjaya dalam industri ini,” katanya.

Beliau mendakwa, sekiranya trend itu berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan ejen, malah memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan agensi yang menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, Perwatam menggesa kerajaan supaya meneliti semula pelaksanaan inisia­tif berkaitan termasuk meng­adakan sesi libat urus bersama pemain industri.

Langkah itu bagi memastikan transformasi digital dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan ke­langsungan mata pencarian ejen berlesen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN