SEREMBAN – Sebanyak 26 lokasi panas (hot spot) dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dengan pemantauan rapi akan dilaksanakan sepanjang tempoh penamaan calon, berkempen, pengundian hingga pasca pilihan raya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 11 lokasi berada di daerah Seremban, diikuti lima masing-masing di Jempol dan Tampin, tiga di Nilai dan dua di Rembau.
Beliau berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan penilaian rekod pilihan raya terdahulu serta risikan dan perkembangan semasa.
“Anggota daripada kontinjen Negeri Sembilan bersama bantuan polis dari kontinjen luar akan ditempatkan di kawasan hotspot bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terkawal,” katanya.
Menurutnya, polis turut mengenal pasti 19 lokasi titik pencetus (flashpoint), terutama di Seremban, Nilai dan Port Dickson, yang berpotensi berlaku ketegangan atau insiden sekiranya timbul isu tertentu sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, seramai 4,800 pegawai dan anggota kontinjen itu akan digerakkan sepanjang PRN, selain menerima bantuan 1,373 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman bagi memperkukuh kawalan keselamatan terutama di pusat mengundi.-KOSMO! ONLINE














