KLUANG – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat akan memantau secara berkala pelaksanaan setiap aku janji yang terkandung dalam manifesto BN Johor sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemantauan itu penting bagi memastikan segala komitmen yang dijanjikan kepada rakyat benar-benar dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan baharu.
Menurutnya, BN tidak mahu manifesto yang dibentangkan hanya tinggal janji di atas kertas, sebaliknya setiap inisiatif akan dipastikan mencapai sasaran demi kesejahteraan rakyat Johor.
“Kurang daripada 48 jam lagi rakyat Johor akan menunaikan tanggungjawab mengundi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN, Friends of BN serta kumpulan middle ground yang telah bekerja keras membantu calon-calon BN di seluruh negeri.
“Alhamdulillah, mereka semakin terbuka minda dan hati untuk terus menyokong calon-calon BN. Saya juga menghargai peningkatan sokongan daripada pengundi bukan Melayu terhadap calon-calon BN yang mewakili pelbagai parti dan kaum,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Johor di Hotel Prime City, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sokongan yang semakin meningkat itu diharapkan dapat diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian Sabtu ini.-KOSMO! ONLINE














