MELAKA – Enam lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam atas pertuduhan membabitkan kes samun berkumpulan di sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang, bulan lalu.
Pendakwaan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan selepas kesemua tertuduh gagal memahami pertuduhan yang dibacakan.
Tertuduh ialah Noor Kamal Innamin, 38, Ziaur Rahman, 21, Mohammed Hussain Mhammed Rofique, 24, Mohd. Sharif Mohd. Arif, 23, Mohd. Anis Shaf Uddin, 18, dan Mohamad Esaak Aman Ullah, 29.
Dalam prosiding yang bermula kira-kira pukul 10 pagi, hanya seorang tertuduh sahaja memaklumkan memahami sedikit bahasa Melayu, manakala lima lagi tidak memahami bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Susulan itu, mahkamah menetapkan tarikh 10 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan seorang jurubahasa yang fasih dalam bahasa Myanmar hadir membantu prosiding.
Semalam Kosmo! melaporkan enam lelaki Rohingya diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang membabitkan kerugian RM200,000, pada bulan lalu.-KOSMO! ONLINE














